SIMANGGANG: Operasi memadam kebakaran belukar di Jalan Kejatau yang masih aktif diteruskan hari ini.
Pasukan pemadam berusaha mengawal kawasan terbakar yang dianggarkan masih berbaki 60 hektar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, kebakaran yang berlaku di kawasan berkenaan dianggarkan melibatkan keseluruhan 80 hektar.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 20 hektar berjaya dipadam, manakala baki 60 hektar masih dalam usaha untuk dikawal dan dipadam.
“Memasuki hari ketiga operasi hari ini, pasukan terus berusaha mengurangkan keluasan kawasan terbakar,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi berdepan beberapa cabaran termasuk keadaan angin kencang yang menyebabkan api merebak dengan lebih cepat.
Selain itu, kekurangan sumber air terbuka di sekitar lokasi turut menyukarkan usaha pemadaman.
Pasukan bomba kini terus menjalankan operasi pemadaman dan kawalan bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.
Perkembangan terkini operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






