KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 3/2026 pada hari kedua semalam menyasarkan kawasan Serian serta empat empangan berdasarkan analisis cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menurut kenyataan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), kawasan yang disasarkan ialah Empangan Assyakirin, Empangan Sika, Empangan Bakun, Empangan Murum serta Serian.
“Tumpuan khusus turut diberikan kepada kawasan Serian berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada tahap sangat berbahaya.

“Operasi bersepadu yang berpusat di Pangkalan TUDM Kuching itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk UKPS,” kata kenyataan UKPS.
Sementara itu, penerbangan menggunakan pesawat TUDM C-130H berlepas pada jam 1 petang dengan membawa tangki larutan garam Natrium Klorida (NaCl) untuk proses semburan di kawasan sasaran.
Pesawat berkenaan, kata UKPS, selamat mendarat semula pada jam 6.15 petang.

Dalam pada itu, analisis imej radar MET Malaysia bagi operasi hari pertama pada 3 September mengesahkan pembentukan hujan di kawasan sasaran antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang dengan kadar intensiti antara 10 hingga 20 milimeter sejam.
“Pelaksanaan OPA hari kedua berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Semua agensi terlibat akan terus memantau keadaan cuaca dan analisis atmosfera dari semasa ke semasa bagi memastikan objektif operasi tercapai demi kestabilan sumber air dan kesejahteraan rakyat di Sarawak,” kata kenyataan berkenaan.






