Operasi pencarian mangsa hilang semasa menyelam berhampiran Pulau Satang diteruskan

KUCHING: Seramai 48 pegawai dan anggota penguat kuasa, sebuah pesawat, empat buah bot dan sebuah dron digerakkan hari ini dalam operasi pencarian Chong Su Sian,31, yang dilaporkan hilang ketika menyelam berhampiran perairan Pulau Satang Besar, di sini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak Kapten Yousry Yaali berkata Op Carilamat ini melibatkan aset dan anggota daripada Maritim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Keluasan sektor pencarian di laut pada hari keempat pencarian ini merangkumi seluas 80.72 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Satang Besar dengan melibatkan aset Maritim dan PPM, serta pencarian melalui udara oleh aset PGU dan dron APM.

“Pasukan penyelam PPM turut melakukan pencarian dengan menyelam di lokasi terakhir mangsa dikatakan hilang manakala pasukan bomba melakukan pencarian di sekitar perairan Pulau Satang Besar,” katanya pada sidang media di Jeti Awam Telaga Air, hari ini.

Beliau menambah setakat jam 11 pagi ini, petugas carilamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkenaan dengan mangsa.

Pada masa sama, Yousry berkata Maritim bersama PDRM masih dalam proses pengumpulan maklumat berkaitan punca-punca kejadian.

Su Sian dilaporkan hilang pada 17 April lalu di sekitar 23 batu nautika dari perairan Pulau Satang Besar ketika melakukan aktiviti menyelam bersama lima rakannya.

Mangsa disyaki hilang selepas hampir sejam setengah tidak muncul di permukaan air selepas melakukan selaman bersendirian.

Suara Sarawak