KUCHING: Seorang pengurus premis pusat hiburan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana beroperasi tanpa lesen sah.
Jalian Saranta, 37, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyediakan dan mengendalikan hiburan dalam premis tanpa sebarang lesen yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan di sebuah bangunan, Jalan Setia Raja, sekitar jam 11.30 malam, 31 Disember 2023.
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(3) Ordinan yang sama.
Menurut fakta kes, pada malam ambang Tahun Baru 2024, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching membuat serbuan di sebuah pusat hiburan kerana dipercayai beroperasi tanpa lesen.
Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan itu beroperasi dengan lebih kurang lapan orang pelanggan sedang berhibur, seterusnya bertindak menangkap pengurus premis serta merampas beberapa peralatan muzik.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



