ARTIKEL

OPERASI…Sekitar operasi Ops Khas Motosikal yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sekitar bandar ini sempena musim perayaan di sini, semalam.

Ops Khas Motosikal: 278 Kenderaan Diperiksa Di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Masih ramai pengguna jalan raya dikesan gagal mematuhi peraturan asas trafik apabila pelbagai kesalahan dikesan menerusi Ops Khas Motosikal yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sekitar bandar ini sempena musim perayaan, semalam.

Menurut hantaran Facebook JPJ Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan Unit Operasi JPJ Sibu melalui rondaan bergerak di beberapa lokasi tumpuan selain pemeriksaan statik di Jalan Lanang.

“Langkah itu diambil susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai serta musim cuti sekolah,” kata hantaran itu.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 278 kenderaan pelbagai jenis diperiksa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.

Hasil pemeriksaan menurut hantaran itu, pasukan mendapati antara kesalahan paling banyak dikesan ialah pengguna tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Turut dikenal pasti ialah kesalahan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Anggota penguat kuasa turut mengesan beberapa pelanggaran lain membabitkan aspek teknikal kenderaan yang boleh mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya,” kata hantaran itu.

JPJ Sarawak memaklumkan semua kesalahan yang dikesan diambil tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut agensi itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai usaha mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

“JPJ Sarawak turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan dokumen perjalanan lengkap serta mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan pertambahan trafik di jalan raya,” kata hantaran itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU