ARTIKEL

PERIKSA…Antara kenderaan diperiksa dalam operasi khas di Pan Borneo dari Sibu hingga ke Miri, kelmarin.

Ops Khas Pengarah: 293 Kenderaan Diperiksa di Laluan Pan Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memeriksa sebanyak 293 kenderaan pelbagai jenis dalam satu operasi khas yang dijalankan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dari Sibu hingga ke Miri, kelmarin.

Menurut kenyataan JPJ, operasi dikenali sebagai Ops Khas Pengarah itu dilaksanakan menerusi rondaan dan pemantauan bagi mengesan kesalahan berkaitan kenderaan yang membawa muatan secara berbahaya selain memastikan pematuhan ke atas peraturan jalan raya.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati beberapa kesalahan dikesan melibatkan pelanggaran syarat permit yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya dalam kenyataan.

Selain itu kata JPJ, terdapat juga kesalahan membawa muatan secara berbahaya serta beberapa kesalahan lain yang melibatkan aspek teknikal kenderaan.

Berikutan itu, pihak penguat kuasa mengeluarkan beberapa notis ketidakakuran kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

JPJ Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap tinggi.

“Usaha itu juga penting bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terus terpelihara, khususnya di laluan utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang menjadi antara rangkaian pengangkutan penting di negeri ini.

“Operasi tersebut turut disertai Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, yang turun padang bagi meninjau pelaksanaan operasi serta memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berkesan dan teratur di lapangan,” kata kenyataan itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU