MIRI: Sebanyak 11 motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Miri di sekitar pusat bandar raya ini, awal pagi tadi.
Menurut JPJ Sarawak dalam kenyataan hari ini, operasi yang bermula 10 malam hingga 3 pagi itu menyasarkan kawasan yang menjadi tumpuan penunggang motosikal, khususnya mereka yang melakukan perbuatan membuat bising dan menunggang secara berbahaya.

“Sebanyak 40 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan bagi mengesan pelbagai kesalahan berkaitan peraturan lalu lintas dan aspek teknikal kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan penunggang, antaranya tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta pengubahsuaian struktur dan peralatan kenderaan,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, JPJ Sarawak memaklumkan, dalam operasi itu, JSPT Miri mengeluarkan 20 notis, manakala JPJ Miri mengeluarkan 32 notis atas pelbagai kesalahan yang dikesan.
Jumlah itu katanya menjadikan keseluruhan 52 notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal sepanjang operasi berkenaan.
“Selain mengeluarkan notis, JSPT Miri turut menyita 11 motosikal untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Tindakan penyitaan itu dilihat sebagai langkah tegas pihak berkuasa dalam membendung aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam,” kata kenyataan yang sama.
JPJ Sarawak berkata, kerjasama dengan JSPT Miri akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan mencegah tingkah laku pemanduan yang membahayakan.
Menurutnya, aspek keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan, selain tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang ditetapkan.



