KUCHING: Orang ramai dijemput untuk menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Astana Negeri Sarawak 2026 pada 1 Syawal bermula 9 pagi sehingga 4 petang di Astana Negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menyambut para tetamu dan jemputan bermula 10 pagi hingga 3 petang.
Masyarakat tanpa mengira latar belakang dialu-alukan untuk hadir ke rumah terbuka berkenaan untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat.
Orang ramai yang ingin menghadiri majlis tersebut dinasihati untuk berpakaian kemas dan sopan sepanjang majlis berlangsung.
Lelaki digalakkan memakai baju Melayu lengkap bertengkolok atau bersongkok, manakala yang bukan Muslim boleh mengenakan baju batik lengan panjang.
Bagi wanita pula, digalakkan memakai baju kurung lengkap bersama-sama keringkam atau pakaian yang bersesuaian.
Berkenaan dengan tempat parkir kereta, Astana Sarawak akan menyediakan dua zon parkir bagi memudahkan para pengunjung iaitu di Zon B yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Sekiranya Zon B penuh, pihak polis akan mengarahkan pengunjung ke tempat parkir kereta di Zon C di Wisma Bapa Malaysia.
Sebanyak 10 buah van juga disediakan untuk membawa pengunjung dari parkir Zon B terus ke Pintu Utama Astana Sarawak bermula 9 pagi hingga 4 petang.
Pihak polis akan turut membantu mengawal dan memastikan aliran trafik sepanjang majlis berlangsung berjalan dengan lancar.
Orang ramai tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan menuju ke Astana bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pegawai seranta Mohd Raufa Azlan Abdul Raub di talian 016-6968696.



