MUKAH: Warga Mukah diseru agar membuat perancangan awal serta mengambil langkah sewajarnya sepanjang penganjuran Kaul Mukah Run (KMR) 2026 yang diadakan pada 26 April ini.
Menurut Jawatankuasa Publisiti KMR 2026 James Anthony, acara tersebut dijangka melibatkan penyertaan ramai peserta dari dalam dan luar daerah, sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan awam.
“Orang ramai yang mempunyai urusan sepanjang tempoh acara dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Antara langkah penting yang perlu diberi perhatian ialah mengenali laluan yang akan ditutup atau dijadikan sebagai trek larian, khususnya di kawasan sekitar Pantai Kala Dana, Jalan Pantai serta pusat bandar Mukah,” katanya.
Mengulas lanjut, laluan untuk acara 10 kilometer (km) dan 3km menggunakan laluan baharu, manakala untuk 5km tiada perubahan laluan.

Jelasnya, laluan yang dirancang rapi adalah untuk memastikan keselamatan dan keselesaan peserta.
Sehubungan itu, orang ramai juga digalakkan keluar lebih awal sekiranya mempunyai urusan penting seperti ke pasar atau tempat kerja bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan sementara.
Selain itu, warga Mukah diminta untuk sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk polis, anggota RELA serta sukarelawan yang bertugas di persimpangan jalan sepanjang acara berlangsung.
Dalam aspek keselamatan pula, pemilik haiwan peliharaan diingatkan supaya memastikan haiwan seperti anjing atau kucing berada dalam kawasan berpagar bagi mengelakkan sebarang gangguan atau risiko kepada peserta larian.
Pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan yang menjadi laluan utama.
“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat penting bagi memastikan acara ini berlangsung dengan lancar, selamat dan penuh kemeriahan,” tambahnya.



