Orang Sarawak terbuka terima agama lain

KUCHING: Rakyat Sarawak jangan ambil mudah isu berkaitan dengan perpaduan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tambahnya, kini interaksi dalam masyarakat sudah berada di tahap tinggi kerana banyak perkahwinan campur antara kumpulan etnik.

Beliau menggelar hasil daripada perkahwinan campur itu hibrid dan masyarakat boleh memanggil mereka sebagai anak Sarawak.

“Ia jelas menunjukkan garis etnik antara orang Sarawak dan ada sebab untuk menerima antara satu sama lain.

“Pembangunan dan usaha ekonomi juga adalah faktor motivasi yang kuat kepada rakyat untuk bekerjasama dan pendidikan adalah kunci utama untuk terlibat secara aktif,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi dalam Majlis Perasmian Sarawak’s Pride Project Maze di Tebingan Kuching, semalam.

Tambah Abang Johari, ibu bapa yang beragama Islam tidak mempunyai keraguan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah mubaligh untuk mendapat pendidikan pada peringkat awal.

“Banyak sekolah mubaligh yang ada di seluruh Sarawak pada tahun 1960 dan 1970 dan ramai pemimpin Sarawak adalah dari sekolah mubaligh.

“Mantan Ketua Menteri Tok Nan juga pernah belajar tentang Bible, ia menunjukkan tahap penerimaan dan keterbukaan di Sarawak telah ada sejak dahulu lagi, kita menerima apa yang diperlukan untuk kebaikan masyarakat di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menyatakan, pengertian dan penerimaan semakin meningkat hingga ke hari ini dan banyak gereja dan masjid dibina bersebelahan.

“Gerai makanan melayu beroperasi bersama dengan gerai makan Cina dan sebagainya.

“Dengan proses pembangunan pantas, pergerakan rakyat telah meningkat dengan pesat ia termasuk dengan dunia tanpa sempadan, telah meningkatkan peluang interaksi yang perlu dimanfaatkan secara positif dan baik,” jelasnya.

Abang Johari menambah, pergerakan dan interaksi baik melalui pembangunan fizikal dan infrastruktur atau revolusi teknolgi digital membawa banyak cabaran.

“Perkara itu perlu diuruskan dengan baik seperti peningkatan ekstremisme yang datang ke pantai Sarawak,” katanya.

Seluruh rakyat Sarawak mesti bekerjasama secara terus dan aktif untuk mengekalkan hubungan

persaudaraan dan persahabatan yang telah dibina bersama-sama selama ini, jelas Abang Johari.

“Kita harus memupuk dan menghargai perkara tersebut untuk keamanan, keharmonian, kemakmuran dan sebagainya di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak selama ini telah mengamalkan dasar keterangkuman yang berkaitan dengan isu keprihatinan pelbagai kumpulan etnik di negeri ini,” katanya.