Organ manusia dalam kontena sampah

COLOMBO: Pekerja di pelabuhan Colombo terganggu dengan bau busuk yang datangnya dari salah satu daripada 111 kontena sampah yang dihantar oleh Britain ke Sri Lanka.

Ketika mereka memeriksa salah satu kontena, mereka menjumpai potongan anggota manusia bercampur dengan sisa sampah kitar semula terdiri daripada plastik dan bahan buangan perubatan.

Menurut Mirror pada Khamis, pihak berkuasa Sri Lanka mahu menghantar semula kontena mengandungi sampah tersebut kembali ke Britain.

Laporan sebelum ini menyebut kontena tersebut diseludup masuk ke Sri Lanka dengan perisytiharan palsu.

Jurucakap Alam Sekitar Sri Lanka mengaku bahan buangan tersebut sangat berbahaya.

Setiap tahun, Britain mengeksport 22 juta tan sampah ke luar negara kerana mereka tidak memiliki kemudahan kitar semula sampah mereka sendiri.

Sampah tersebut dihantar ke negara dunia ketiga dengan perisytiharan sebagai bahan kitar semula, namun baru-baru ini sampah dari negara maju menjadi isu dan krisis di negara yang

menerima sampah berkenaan kerana ternyata sampah tersebut mengandungi bahan plastik sukar lupus dan ada yang didakwa bertoksik.

Suara Sarawak