KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 32 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menghantar gambar lucah kepada adik ipar perempuan yang berusia 16 tahun, Jun lepas.
Tertuduh berusia 35 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kerana terlibat dalam komunikasi lucah terhadap mangsa wanita berusia 16 tahun tujuh bulan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Datuk Ajibah Abol, antara 3.30 pagi hingga 7.30 pagi, 24 Jun lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa menerima satu mesej gambar kemaluan daripada abang iparnya.
Pengadu yang berasa terganggu dan terhina lalu menangkap layar mesej tersebut sebagai bukti sebelum laporan polis dibuat.
Laporan polis terus dibuat oleh pengadu seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 30 Jun sekitar 11 malam.
Telefon pintar yang digunakan tertuduh turut dirampas.
Hasil siasatan tertuduh terlibat dalam komunikasi lucah terhadap seorang remaja perempuan.
Difahamkan, tertuduh mengaku merakam adik iparnya (pengadu) ketika mandi sejak Mac tahun lepas sehingga Jun tahun ini.
Dia juga menyimpan video dan gambar tersebut dan tidak menyebarkan kepada orang lain.
Selain itu, dia mengaku ketagih melihat video porno dan isterinya mengetahui tabiat tertuduh yang sering menonton video lucah untuk memuaskan nafsu.
Timbalan Pendakwa Raya Fauzulutfi Suriani memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan demi kepentingan awam.


