KUCHING: Tiga warga tempatan di sini ditahan kerana memiliki spesies hidupan liar secara tidak sah.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, Ab Rahman Mat Hasan berkata, kesemuanya dicekup dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh PPM Wilayah 5 Sarawak bersama-sama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di lokasi berasingan di sini, kelmarin.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki spesies hidupan liar iaitu tiga ekor Bearded Dragon, empat ekor Gecko beserta telur, 25 ekor Tarantula, dua ekor Sugar Glider, seekor Sugar Glider, 11 ekor Tarantula dan tiga ekor Indian Star Tortoise,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 5 Sarawak dan SFC turut menahan dua lelaki tempatan di Bintulu kerana memiliki sarang burung walit secara tidak sah.

Ab Rahman, berkata kedua-duanya ditahan di dua lokasi berasingan dengan rampasan sebanyak 101.4 kilogram sarang burung walet yang dijumpai disimpan di dalam peti sejuk beku.
“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM735,500 itu disyaki tidak memiliki lesen/ permit pemilikan yang sah,” katanya.
Beliau menambah tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan disiasat oleh SFC.
Katanya sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 setiap ekor bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Manakala bagi hidupan liar yang dilindungi, boleh dihukum penjara tidak melebihi satu
tahun dan denda RM10,000 setiap ekor.


