ARTIKEL

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP), Datuk Abu Jimi Samat berucap pada Majlis Pengenalan Skuad Sepak Takraw Pahang bagi menghadapi saingan musim 2026 melibatkan kejohanan Piala Tun Ali dan STL Divisyen 1.

Pahang Mammoth buru tiket kembali ke STL Premier

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHAH ALAM: Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP) memasang misi besar mengembalikan Pahang Mammoth ke pentas Liga Sepak Takraw (STL) Premier apabila memperkenalkan tujuh pemain baharu bagi menghadapi saingan STL Divisyen 1 musim 2026.

Presiden PSTNP Datuk Abu Jimi Samat berkata, skuad yang dibentuk kali ini disasarkan mengembalikan kegemilangan pasukan untuk bersaing di peringkat tertinggi selepas kali terakhir dicapai pada 2020.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP), Datuk Abu Jimi Samat (belakang dua, kanan) bersama para pemain selepas menandatangani kontrak bersama skuad Pahang pada Majlis Pengenalan Skuad Sepak Takraw Pahang bagi menghadapi saingan musim 2026 melibatkan kejohanan Piala Tun Ali dan STL Divisyen 1.

Antara pemain yang diperkenalkan ialah Muhammad Hairul Hazizi Haidir yang pernah meraih pingat gangsa bersama skuad negara dalam acara chinlone pada Sukan SEA 2025 serta pemain import Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha di posisi tekong.

Turut menyertai Pahang Mammoth ialah bekas tonggak Selangor yang membantu pasukan itu menjuarai Piala Khir Johari 2026, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin di posisi apit kanan, manakala Norfaizzul Abd Razak mengisi posisi apit kiri.
“Sepanjang beberapa tahun saya menjadi presiden, saya rasa kali ini Pahang berjaya membentuk satu pasukan yang cukup matang.

“Dengan pemilihan pemain serta pelaburan besar yang dibuat, saya yakin inilah antara pasukan negeri terkuat pernah dihimpunkan,” katanya pada sidang media pengenalan pemain Pahang Mammoth di sini semalam.

Abu Jimi berkata, PSTNP turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan pemain muda menerusi kemasukan dua pemain SUKMA Pahang sebagai sebahagian daripada projek pembangunan jangka panjang pasukan itu.

Beliau berkata, pemain berkenaan ialah Mohamad Alif Najmi Mazaidan di posisi apit kanan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman selaku apit kiri.

Semua pemain yang diperkenalkan menerima kontrak hingga hujung tahun ini bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan dan persiapan musim baharu.

Abu Jimi berkata, PSTNP juga sedang berusaha mendapatkan beberapa lagi pemain termasuk tekong dari Thailand bagi memperkukuhkan pasukan menjelang saingan musim baharu.

Saingan STL Divisyen 1 dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober depan. – BERNAMA

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSTNP), Datuk Abu Jimi Samat (dua, kanan) bersama pemain import dari Thailand, Pongsatorn Phong Udtha pada Majlis Pengenalan Skuad Sepak Takraw Pahang bagi menghadapi saingan musim 2026 melibatkan kejohanan Piala Tun Ali dan STL Divisyen 1.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU