ARTIKEL

Pakai semula pelitup muka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMINGGU sebelum raya, saya berkunjung ke klinik kesihatan di Petra Jaya untuk janji temu mengambil darah, sebelum janji temu dengan doktor pada minggu depan.

Selain buku rekod perubatan, serta memastikan masa dan tarikh janji temu betul, pelitup muka menjadi keutamaan.

Saya tidak ingin lagi menjadi perhatian orang ramai apabila tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai. Situasinya seperti ini.

Seminggu sebelum berkunjung ke klinik berkenaan, saya menemani bapa yang turut memenuhi tuntutan janji temu dengan doktor sekitar jam 8.00 pagi.

Kami berdua berjalan memasuki bangunan klinik. Yang hairannya, ramai yang memandang saya. Kehairanan? Saya yang hairan diperhatikan.

Dari bawah ke atas, saya pastikan tiada yang pelik. “Apa hal orang lihat aku ni?” Setelah melihat kiri dan kanan, baru saya perasan saya antara beberapa pengunjung yang tidak memakai pelitup muka.

Selepas menghantar bapa ke kaunter pendaftaran, saya minta izin bapa untuk balik ke kereta untuk mengambil pelitup muka, yang memang disimpan di dalam kereka. Saya kembali semula ke klinik. Kali ini, tidak lagi diperhatikan.

Sebaliknya, seorang yang saya kenal mengangkat tangannya sambil menunjukkan tanda bagus. Ini yang terjadi apabila terlupa pakai pelitup muka. Jadi perhatian, dan dilihat sebagai pelik. Seperti yang mungkin selalu kita ungkap.

“Aih! Kenak orang ya sik pake topeng? Sik takut Covid-19 ka?” Pengajarannya, pastikan tidak lupa pelitup muka. Pastikan ada disimpan di dalam beg sandang atau di dalam kenderaan yang kita gunakan.

Pun demikian, ada juga yang pelik melihat orang lain memakai pelitup muka. Ia berbeza dengan ketika seluruh negara diwajibkan pakai pelindung kesihatan ini. Ketika berada di pusat beli-belah misalnya, rata-rata pelanggan tidak lagi pakai pelitup muka.

Itu tidak menjadi hal kerana ia bukan lagi diwajibkan. Peliknya, orang yang pakai pelitup muka dianggap pelik. Kemudian, ia beransur-ansur kurang. Kini semakin ramai pakai pelitup muka disebabkan jangkitan Covid-19 menunjukkan sedikit peningkatan, lebih-lebih lagi kemunculan varian baharu – Arcturus – dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di beberapa negara, antaranya India.

Minggu lalu, sebanyak 12 kes subvarian Covid-19 Arcturus dikesan di negara ini, iaitu subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit. Memetik kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pesakit akan menunjukkan simptom ringan dan berada dalam keadaan stabil.

Arcturus ialah XBB.1.16 mula dikesan Januari lalu, dan dikesan di Malaysia awal Mac lalu. Antara simptom Arcturus termasuk demam tinggi, batuk dan konjunktivitis atau mata merah. Ketika negara mula merekodkan jangkitan varian ini, timbul kebimbangan akan keselamatan dan kesihatan anak- anak di sekolah.

Kebimbangan ini menyebabkan ada beberapa saranan sama ada daripada pakar kesihatan ataupun netizen. Ada yang mahu sekolah ditutup sementara, dan ada yang mencadangkan agar pemakaian pelitup muka di sekolah diwajibkan semula.

Penutupan sementara sekolah bukan pilihan. Pemakaian pelitup muka pula bukan diwajibkan, tetapi guru dan pelajar digalakkan menggunakan pelitup muka ketika berada di sekolah. Akhbar ini semalam melaporkan, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di semua sekolah negara ini bukan diwajibkan, tetapi merupakan galakan bagi melindungi pelajar daripada jangkitan Covid-19.

Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan murid dan pelajar di sekolah itu akan dikeluarkan sebelum sesi persekolahan bermula pada 2 Mei ini. “Saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam masa terdekat bagi membincangkan garis panduannya.

Selepas itu barulah SOP tersebut akan dikeluarkan. “Tetapi kita tidak mewajibkan penggunaan pelitup muka, kita menggalakkan murid dan pelajar sekolah untuk menggunakannya, khususnya di tempat sempit, tertutup dan sesak,” katanya.

Apa-apa pun, ibu bapa perlu mengambil langkah ke hadapan dengan memastikan anak-anak memakai pelitup muka ketika hadir ke sekolah. Ini inisiatif untuk melindungi anak-anak. Juga membekalkan anak-anak dengan cecair pensanitasi tangan – seperti amalan ketika negara masih mencatatkan jumlah jangkitan tinggi sebelum ini.

Jadikan anak-anak kekal setia memakai pelitup muka di mana- mana mereka berada, termasuk di dalam kelas. Hanya dibuka dalam beberapa keadaan tertentu – makan dan bersukan. Ibu bapa juga demikian. Disarankan agar turut memakai pelitup muka ketika menghantar atau mengambil anak-anak dari sekolah.

Ini bagi memastikan anak-anak serta pelajar lain tidak dijangkiti Covid-19, sekiranya kita adalah pembaca virus ini tanpa sedar. Lebih-lebih lagi mood Aidilfitri masih ada, kita tidak pasti siapa menjadi pembawa virus ini setelah membuat banyak ziarah raya, selain banyak majis perkahwinan diadakan – jumlah tetamu yang hadir agak ramai.

Mungkin juga boleh dijadikan saranan. Buat ujian kendiri Covid-19 untuk anak-anak yang akan ke sekolah Selasa depan. Ini bagi memastikan tiada anak- anak dijangkiti virus ini hadir ke sekolah. Mungkin juga boleh buat ujian kendiri seisi keluarga. Disebabkan ada varian baharu ini, budayakan semula slogan “Kita Jaga Kita, Jaga Keluarga Kita”

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU