JIKA dahulu, kedai pakaian terpakai sering dikaitkan dengan pakaian lama yang dijual secara bercampur, kini persepsi itu semakin berubah apabila di Kuching muncul sebuah kedai thrift dikenali sebagai Mosh yang menampilkan konsep thrift terpilih yang lebih eksklusif dan berkualiti.
Pemiliknya, Joseph Liew Yew Chern, 33, menjelaskan, Mosh bukan sekadar kedai pakaian terpakai biasa.


Sebaliknya, ia menampilkan koleksi pakaian yang dipilih secara teliti melalui proses pembersihan dan rawatan tertentu sebelum dijual kepada pelanggan.
“Bundel memang merujuk kepada pakaian terpakai, tetapi dalam kategori itu sendiri terdapat pelbagai tahap. “Contohnya, pakaian terpakai boleh mencecah harga lima hingga enam angka.
Di Mosh, kami hanya memilih barangan berkualiti untuk dipasarkan,” katanya kepada Suara Sarawak.


Menurutnya, harga yang ditawarkan di Mosh bermula serendah ratusan ringgit untuk sehelai pakaian dan boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada keunikan serta nilainya.
Namun begitu, terdapat koleksi kemeja-T yang dijual pada harga sekitar RM8,000 yang menunjukkan pakaian terpakai juga boleh memiliki nilai tinggi.
Mengimbas perjalanan dalam bidang perniagaan ini, Joseph menegaskan, minat mendalam merupakan faktor utama kejayaan dalam bidang tersebut.
Katanya, bidang pakaian terpakai bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengetahuan khusus, termasuk kemahiran mengenal pasti keaslian pakaian vintaj.
“Anda perlu benar-benar minat kerana banyak perkara perlu dipelajari, seperti cara memeriksa keaslian sesuatu barangan.

Jika tiada minat, sukar untuk bertahan lama dalam industri ini,” jelasnya.
Dari segi kos pula, anak muda ini mengakui modal untuk membuka kedai ini bergantung kepada konsep yang dibawa.
Jika sekadar kedai pakaian terpakai biasa, kos mungkin lebih rendah.
Namun, bagi konsep seperti Mosh yang menekankan pemilihan eksklusif, kosnya jauh lebih tinggi.
Idea penubuhan Mosh tercetus hasil pengalaman Joseph bersama-sama rakan kongsinya, Ben, yang telah lama terlibat dalam dunia thrift.

Mereka banyak mengembara ke dalam negara dan luar negara serta mendapati konsep thrift terpilih sudah menjadi kebiasaan di luar, tetapi masih kurang di Sarawak.
“Kami pernah menganjurkan acara yang menghimpunkan vendor thrift di Kuching dan mendapat sambutan baik.
Dari situ, kami terfikir untuk membuka kedai kolaborasi bagi menyediakan platform kepada penjual lain,” katanya lagi.
Lebih daripada sekadar menjual pakaian, Mosh juga membawa satu mesej kepada masyarakat, khususnya komuniti tempatan, bahawa aktiviti thrifting bukan sekadar pilihan golongan tertentu.
“Di luar negara, thrifting sudah menjadi budaya.

Di sini, masih ada yang sukar menerima pakaian terpakai.
Kami mahu menunjukkan bahawa bundle juga boleh menjadi sesuatu yang eksklusif dan bernilai,” ujarnya.
Dari segi pengalaman pelanggan, Joseph berharap setiap individu yang melangkah masuk ke Mosh akan merasai kelainan yang ketara, termasuk dari aspek dekorasi dalaman hinggalah kepada koleksi pakaian yang ditawarkan.
“Kami mahu apabila orang masuk ke kedai ini, mereka rasa ‘wow’ dan apa-apa yang ada di sini sukar ditemui di tempat lain,” katanya.
Menariknya, inspirasi dekorasi kedai juga datang daripada minat peribadi Joseph dan rakan kongsinya terhadap barangan antik serta nostalgia era 1990-an.

Pelbagai koleksi permainan lama dan barangan retro dipamerkan bagi mencipta suasana unik.
“Kami kumpul barang yang kami suka dan mungkin tidak mampu dimiliki semasa kecil dahulu di sini sebagai elemen hiasan,” ujarnya lagi.
Dari segi demografi pelanggan, majoriti pengunjung Mosh terdiri daripada golongan muda yang lebih terbuka terhadap konsep thrifting.
Mereka lebih menghargai keunikan berbanding generasi terdahulu yang cenderung memilih pakaian baharu.
Bagi menarik perhatian pelanggan, Joseph percaya keunikan produk merupakan faktor utama.
Katanya, barang yang sukar ditemui di tempat lain menjadi tarikan tersendiri kepada pembeli.
Namun, beliau tidak menafikan cabaran terbesar dalam menjalankan perniagaan ini adalah membina penerimaan masyarakat terhadap amalan thrifting, khususnya di peringkat tempatan.
“Untuk membina perniagaan, perlu membina komuniti terlebih dahulu.
Jika orang tidak memahami budaya ini, memang sukar untuk berkembang,” jelasnya.
Walaupun berdepan cabaran, Joseph mengakui tidak pernah terfikir untuk berputus asa kerana yakin dengan potensi industri tersebut.
Melihat perkembangan semasa, dia berpendapat, trend thrifting di Kuching masih di peringkat awal.
Namun, Joseph optimis ia mampu berkembang menjadi gaya hidup sekiranya masyarakat mula menghargai konsep tersebut.
“Apabila seseorang sudah mula memahami dan menghargai thrifting, ia akan menjadi sebahagian daripada gaya hidup, bukan sekadar trend,” katanya.
Mengakhiri temu bual, Joseph menitipkan pesanan kepada anak muda yang ingin menceburi bidang ini agar bermula secara kecil-kecilan dan tidak terburuburu membuka kedai.
“Membuka kedai bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam industri fesyen,” katanya sambil tersenyum.
Dalam era digital, promosi Mosh banyak dijalankan melalui platform media sosial seperti TikTok dan Instagram, selaras dengan sasaran pelanggan mereka dalam kalangan generasi muda.
Dengan pendekatan unik dan visi yang jelas, Mosh bukan sahaja menjual pakaian, malah berusaha membina satu budaya baharu dalam dunia fesyen tempatan.



