ARTIKEL

Pakej rangsangan ekonomi tingkatkan defisit fiskal kerajaan – Moody’s

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Walapun pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan akan menyokong permintaan domestik dan pertumbuhan ekonomi, ia sebaliknya turut akan meningkatkan defisit fiskal kerajaan sekurang-kurangnya bagi 2020, menurut Moody’s Investors Service.

Moody’s berkata langkah rangsangan itu juga akan meningkatkan cabaran pengukuhan fiskal kerajaan dalam beberapa tahun akan datang, terutama memandangkan beban hutang yang telah sedia tinggi berbanding negara lain yang diberi penarafan yang setara.

“Penularan COVID-19 sehingga menjadi pandemik global, ditambah dengan sekatan pergerakan yang ketat serta penutupan perniagaan bukan penting walaupun bersifat sementara di Malaysia, akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara ketara.

“Walaupun nilai pakej rangsangan ekonomi itu cukup besar, kami menjangkakan pertumbuhan perlahan di antara 0 dengan 1.0 peratus pada 2020 sebelum melonjak semula pada kira-kira 5.0 peratus pada 2021,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata secara khusus, sektor berorientasikan eksport dan pelancongan, termasuk industri elektrik dan elektronik yang menyumbang kira-kira 30 peratus kepada eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia, akan terjejas teruk berikutan kelemahan permintaan global.

Baca lain  Memudahkan pemasaran produk eko-pelancongan

Perkhidmatan domestik pula akan mengalami kekangan selagi Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa, kata Moody’s.

Agensi penarafan itu berkata pakej rangsangan ekonomi, pertumbuhan lembap serta penurunan harga minyak mentah yang akan mengurangkan pendapatan kerajaan, dijangka meningkatkan defisit fiskal kepada di antara 4.0 dengan 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, berbanding 3.4 peratus tahun lepas.

“Ini akan mengakibatkan beban hutang kerajaan meningkat kepada hampir 60 peratus daripada KDNK pada 2020, mengatasi median 36 peratus bagi negara lain yang diberi penarafan A3 dan had 55 peratus yang ditetapkan kerajaan Malaysia, yang hanya bagi hutang langsung sahaja.

“Jangkaan kami adalah dengan mengandaikan kerajaan memperuntukkan semula bahagian perbelanjaan dalam Belanjawan 2020 termasuk subsidi bahan api, kepada pakej rangsangan ekonomi tersebut,” menurut Moody’s.

Ia berkata bantuan sekali bayar, sifat bagi rangsangan ekonomi, dengan hanya satu persepuluh daripada pakej itu melibatkan perbelanjaan langsung oleh kerajaan, mengehadkan skop penurunan fiskal yang ketara dan berterusan di samping menyediakan beberapa sokongan untuk permintaan domestik.

Baca lain  Rangsang ekonomi pelbagai sumber - Abdul Wahid

Agensi penarafan itu berkata bagaimanapun profil fiskal dan kredit Malaysia masih tetap mudah dipengaruhi oleh kelemahan permintaan global yang berterusan serta penurunan harga minyak mentah.

“Penting untuk mengambil perhatian bahawa asas hasil Malaysia mengecil dan kebergantungannya kepada hasil minyak dan gas telah meningkat sejak dua tahun lepas susulan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan,” menurutnya.

Moody’s berkata selain itu sektor kewangan Islam, yang masih kurang menonjol dalam sistem kewangan global, akan terus berkembang pada 2020 dan seterusnya, memandangkan permintaan terhadap instrumen kewangan patuh syariah terus meningkat.

“Penembusan perbankan Islam dalam pasaran kewangan Islam utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia (A3 stabil), Indonesia (Baa2 stabil) dan Turki (B1 negatif), meningkat kepada 31.2 peratus pada September 2019 daripada 25.5 peratus pada 2013, manakala nilai terbitan sukuk global tahunan meningkat kepada US$179 bilion daripada US$125 bilion,” menurutnya.

Ia menjangkakan pada 2020, terbitan sukuk akan stabil dan pasaran insurans takaful akan menyaksikan pertumbuhan kukuh dengan premium insurans meningkat di pasaran baharu yang ditembusi.

Baca lain  Kemas kini data peribadi sebelum 31 Mac

“Namun, risiko penurunan juga bertambah kerana kemerosotan akibat wabak COVID-19 susulan gangguan pasaran yang berpanjangan boleh menghindari penerbit dari pasaran,” kata Moody’s.

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

Eksport produk kayu menurun

KUCHING: Prestasi nilai eksport produk perkayuan Sarawak merekodkan penurunan sebanyak sembilan peratus dengan sebanyak RM682 juta berbanding RM752 juta untuk tempoh sama tahun lalu. Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali

BERITA TERBARU