ARTIKEL

Logo Sarawak Gateway To Borneo.

Pakej Sia Sitok Sarawak tawar penjimatan hingga 40 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Penjimatan sehingga 40 peratus menanti pengunjung MATTA Fair September 2026 menerusi pakej Sia Sitok Sarawak, dengan tawaran perjalanan ke pelbagai destinasi di Sarawak untuk tempoh percutian sehingga 15 Disember depan.

Menurut kenyataan, tawaran eksklusif itu boleh didapati di Pavilion Sarawak, Booth 1A10, Dewan Domestik, Aras 1, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), dari 4 hingga 6 September ini, bermula 10 pagi hingga 9 malam setiap hari.

“Untuk menikmati penjimatan Sia Sitok Sarawak, tempahan perlu dibuat di Pavilion Sarawak sepanjang MATTA Fair, dengan pakej yang ditawarkan merupakan percutian sekurang-kurangnya tiga hari dua malam.

“Menerusi ejen pelancongan yang mengambil bahagian, pengunjung boleh memilih pelbagai pengalaman di bahagian selatan, tengah dan utara Sarawak, termasuk percutian keluarga, pengembaraan hutan hujan, pertemuan dengan hidupan liar, perjalanan budaya, percutian tanah tinggi serta pakej merentas beberapa destinasi,” jelas kenyataan.

Antara destinasi yang ditawarkan termasuk Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Niah, Mulu dan Bario, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong mengikut minat serta gaya perjalanan masing-masing.

Di Sarawak Selatan, pakej yang ditawarkan merangkumi Kuching dan kawasan sekitarnya dengan pengalaman berasaskan budaya, warisan, hidupan liar, taman negara, gua serta tarikan luar bandar.

Bagi Sarawak Tengah pula, pakej merangkumi Sibu, Mukah dan Bintulu dengan pengalaman melibatkan rumah panjang, kawasan luar bandar, warisan Melanau serta aktiviti berkaitan sungai dan pesisir pantai.

Di utara Sarawak, pelancong boleh memilih pengalaman berasaskan alam semula jadi, gua, tanah tinggi dan pengembaraan menerusi destinasi seperti Miri, Niah, Mulu dan Bario.

Jelas kenyataan lagi, AirBorneo turut mengetengahkan tambang Sarawakku Sayang bagi perjalanan Kuala Lumpur-Kuching bermula RM375 sehala untuk kelas ekonomi, termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api.

Pavilion Sarawak menghimpunkan 30 pempamer, terdiri daripada 20 pempamer perdagangan termasuk pengusaha pelancongan, penyedia penginapan dan pemilik produk pelancongan serta 10 pempamer bukan perdagangan yang mengetengahkan seni, budaya, kraftangan serta makanan dan minuman Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, kempen itu menjadi peluang untuk menggalakkan pelancong meneroka lebih banyak destinasi di Sarawak, termasuk lokasi yang mungkin belum pernah dikunjungi.

“Sarawak menawarkan pengalaman yang sangat berbeza dari satu wilayah ke wilayah yang lain dan kami mahu pelancong melihat bahawa masih banyak yang boleh diterokai selain tempat yang sudah mereka kenali.

“Sia Sitok Sarawak menghimpunkan pengalaman ini dengan cara yang memudahkan perancangan percutian, selain menyokong rakan pelancongan tempatan yang menjayakan perjalanan tersebut,” katanya.

Edisi September itu merupakan pusingan kedua Kempen Sia Sitok Sarawak di MATTA Fair Kuala Lumpur bagi 2026, selepas penampilan pertamanya pada April lalu.

Penyertaan kali ini turut dilihat bertepatan dengan keadaan semasa apabila ketidaktentuan geopolitik mempengaruhi pilihan perjalanan, dengan pelancong semakin menitikberatkan nilai, kemudahan akses dan pengalaman yang lebih dekat.

Sarawak Tourism Board berkata, kepelbagaian pakej percutian berbilang hari, peningkatan kesalinghubungan serta tawaran perjalanan yang menarik memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk meneroka destinasi dalam negara.

Penyertaan Sarawak di MATTA Fair September 2026 turut melengkapi kempen Visit Malaysia 2026 dalam menggalakkan rakyat Malaysia meneroka kepelbagaian destinasi dan pengalaman pelancongan yang terdapat dalam negara.

Tawaran promosi Sia Sitok Sarawak hanya tersedia dari 4 hingga 6 September 2026 di Pavilion Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU