ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan pada Selasa mempergiat usaha memindahkan ribuan keluarga susulan ribut tropika Biparjoy semakin menghampiri dan dijangka bertukar menjadi siklon yang amat kuat.
“Kami menyelesaikan pemindahan ini pada pagi Khamis,” kata pengerusi Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), Leftenan Jeneral Inam Haider Malik kepada pemberita di Islamabad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata setakat ini, sekurangkurangnya 26,000 orang dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Kira-kira 100,000 orang dari kawasan pantai dipindahkan sebelum satu daripada taufan terkuat dijangka melanda wilayah Sindh di Pakistan dalam tempoh hampir 25 tahun dan siklon itu diramal mendarat pada 15 Jun.
Wilayah berkenaan pernah dilanda banjir besar tahun lalu dan puluhan ribu orang masih bergelut untuk membina semula kehidupan mereka.
Siklon itu berada pada jarak sekitar 470 kilometer (km) dari bandar pelabuhan Karachi, menurut Jabatan Metrologi Pakistan.
Sebuah loji janakuasa nuklear di Karachi dan beberapa loji janakuasa arang batu di daerah jiran ditutup dalam masa beberapa hari lagi yang mungkin menimbulkan isu bekalan tenaga.
“Berbahaya untuk mengendalikan loji kuasa ketika angin kencang,” kata Menteri Tenaga, Khurram Dastgir.
Kerajaan wilayah itu juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana curahan hujan sebanyak lebih 100 milimeter diramal berlaku di Karachi.
Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman berkata kawasan pantai amat berisiko tinggi dengan gelombang ombak dijangka antara 2.4 dan 3.7 meter.
Beliau berkata, curahan hujan sebanyak 113 mm diramal di Karachi dan bandar itu berkemungkinan berdepan masalah banjir. – Bernama



