SLAMABAD: Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi memaklumkan kepada Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam pada Isnin bahawa persiapan bagi fasa kedua rundingan di Islamabad telah selesai, lapor Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Menurut kenyataan itu, Mohsin bertemu dengan duta itu untuk membincangkan urusan pusingan kedua rundingan, sambil menyatakan bahawa kawalan keselamatan rapi dilaksanakan bagi menyambut delegasi asing yang berkunjung.
Beliau turut menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian menerusi dialog dan rundingan serta menegaskan bahawa penyelesaian mampan amat penting bagi kestabilan serta keamanan serantau jangka panjang.
Utusan Iran itu pada masa sama menghargai “peranan positif dan membina” Pakistan dalam usaha mengurangkan ketegangan serta memudahkan dialog di rantau berkenaan, menurut kenyataan itu.
Terdahulu pada hari yang sama, Mohsin melawat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad untuk memberikan maklumat terkini kepada pihak AS mengenai persediaan keselamatan bagi pusingan kedua rundingan berkenaan. — Bernama



