ARTIKEL

Palestin kecam ‘Perarakan Bendera’ Israel di Baitulmuqddis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

RAMALLAH/GAZA: ‘Perarakan Bendera’ Israel di Baitulmaqdis semalam mencetuskan kemarahan serta kecaman orang awam dan pegawai Palestin, lapor Xinhua.

Puluhan ribu rakyat Israel menyertai perarakan bagi memperingati ‘Penyatuan Baitulmaqdis’ di tengah-tengah kawalan keselamatan Israel yang ketat.

Peserta mengibarkan bendera Israel dan melaungkan slogan anti-Palestin, sambil berarak dari bahagian kota itu melalui Quarter of the Old City Islama hingga ke Wailing Wall berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Nabil Abu Rudeineh, jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, memberitahu pemberita di Ramallah, Tebing Barat bahawa Baitulmaqdis adalah ibu kota abadi Negara Palestin.

“Rakyat Palestin mempunyai hak yang sah ke atas Baitulmaqdis, bukan Israel atau Amerika Syarikat,” kata Abu Rudeineh, yang mengecam perarakan itu sebagai “provokasi dan peningkatan (ketegangan) Israel”.

Beliau berkata kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas ketegangan yang semakin meruncing dan memburukkan lagi permusuhan, bukan sahaja di Baitulmaqdis bahkan di seluruh wilayah.

Agensi berita rasmi Palestin (WAFA) melaporkan bahawa peserta Israel dalam perarakan itu, yang dilindungi anggota polis Israel, menyerang beberapa penduduk Palestin. 

Polis Israel turut menahan 10 warga Palestin kerana menghalang perarakan.

Pada pagi semalam, Israel mengerahkan lebih 3,000 anggota polis di seluruh kota Baitulmaqdis untuk memantau perarakan itu, menurut Radio Israel.

Di Semenanjung Gaza, ratusan rakyat Palestin berdemonstrasi berhampiran pagar sempadan antara timur Semenanjung Gaza dan Israel untuk membantah ‘Perarakan Bendera’ Israel.

Mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan menentang Israel sambil membakar tayar dan menggantung berpuluh-puluh bendera Palestin di pagar sempadan, kata saksi.

Pemimpin gerakan Jihad Islam Palestin (PIJ), Khaled Al-Batsh, berkata semua bukti sejarah menunjukkan kota Baitulmaqdis adalah milik Islam, Arab dan Palestin.

Tujuh penunjuk perasaan Palestin dilaporkan cedera dan puluhan mengalami sesak nafas selepas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera Israel.

Sementara itu Ismail Haniyeh, ketua biro Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza, menyebut dalam satu kenyataan: “Penggerak entiti Israel untuk melindungi ‘Perarakan Bendera’ mencerminkan kerapuhan keselamatan Israel.”

Haniyeh berkata “konfrontasi dengan musuh masih berterusan dan rakyat kita tidak akan berhenti selagi wilayah termasuk Baitulmaqdis dan hak kami tidak dikembalikan”.

Golongan nasionalis Israel mengadakan ‘Perarakan Bendera’ tahunan untuk meraikan apa yang mereka panggil ‘Hari Yerusalem’.

Israel menakluki Baitulmaqdis semasa perang pada 1967 dan mengilhakkannya tidak lama selepas itu – satu langkah yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa. – BERNAMA-XINHUA

BERITA LAIN

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan

Festival Air Sedunia Maha Songkran bermula di Thailand

Bangkok, Thailand: Kerajaan Thailand semalam melancarkan Festival Air Sedunia Maha Songkran 2024 bagi mempamerkan pelbagai tradisi negara itu sempena Songkran atau permulaan Tahun Baharu Thailand yang disambut setiap

BERITA TERBARU

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan