KUCHING: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak kembali dengan pelbagai tawaran menarik daripada lebih 60 reruai pameran pakej pelancongan serta penerbangan.
Pameran Kembara MATTA Sarawak 2024 yang dijadualkan dari 31 Ogos hingga 1 September di The Hills itu dijangka mengetengahkan pelbagai tawaran inovatif bagi memupuk amalan mampan dalam industri pelancongan.
Menurut pengerusinya, Oscar Choo, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan MASWings merupakan rakan kongsi rasmi bagi pameran pada tahun ini.
“Usaha sama ini merupakan dedikasi kami dalam menawarkan pengalaman melancong yang tidak dapat dilupakan melalui pakej-pakej yang bersesuaian dengan bajet orang ramai,” ujarnya pada sidang media Pameran Kembara MATTA Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, semua agensi terlibat akan menawarkan pakej yang menekankan nilai, keselamatan dan kemampanan serta berkongsi pandangan tentang kemampanan dalam pelancongan, selain trend baharu.
“Terdapat antara 16 hingga 20 agensi yang menyertai pameran itu menyediakan pakej-pakej disesuaikan dengan setiap pengembaraan sama ada secara solo, bercuti bersama keluarga mahupun bagi urusan perniagaan.
“Melalui penambahan dalam pakej tawaran pelancongan yang hebat ini, operator pelancongan berlesen kami akan sentiasa berkongsi pandangan tentang masa depan pelancongan, kemampanan dan trend baharu yang muncul bagi membentuk penerokaan dunia ini.
“Pendekatan ini merupakan salah satu cara kita menyokong usaha menambah baik destinasi pelancongan serta merancakkan industri di negeri ini,” ujarnya.
Pameran dengan kemasukan percuma itu akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.





