KOTA SAMARAHAN: Pameran Raja Kita memberi peluang kepada masyarakat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memperkukuhkan nilai perpaduan rakyat seluruh negara.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi berkata, ia juga untuk lebih menghargai sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan lambang perpaduan dan kedaulatan memayungi setiap rakyat Malaysia.
“Sambutan pada tahun ini yang bermula dengan pelancaran Pameran Raja Kita memberi makna penting bagi kita di Sarawak walaupun tidak mempunyai pemerintahan beraja dan hanya mempunyai Yang di-Pertua Negeri.
“Pameran ini bukan hanya berkongsi maklumat penting tetapi juga termasuk perkara yang kita tidak ketahui mengenai institusi Yang di-Pertuan Agong termasuk latar belakang, peralatan serta koleksi Institusi Raja,” katanya.
Julaihi yang juga Menteri Bertanggungjawab penganjur Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong peringkat Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Pameran Raja Kita di pusat beli-belah Summer, di sini, hari ini.
Tambahnya, program sedemikian secara tidak langsung memperkukuh nilai dan perpaduan rakyat negara ini, di bawah kepimpinan Yang di-Pertuan Agong.
“Acara itu juga bertujuan untuk membawa rakyat Malaysia bersama-sama dalam perpaduan dan memberikan gambaran yang lebih mendalam tentang sejarah dan kepentingan institusi beraja.
“Justeru, saya berharap orang ramai khususnya dari sekitar Samarahan dan Kuching untuk hadir menyaksikan dan menghayati pameran yang berlangsung di sini dari 5 hingga 8 September depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pameran tersebut diadakan secara paparan 3D dengan memaparkan kehidupan, pencapaian, termasuk peralatan dan pakaian serta biografi Sultan Ibrahim semasa zaman kanak-kanak sehingga hari pertabalan Seri Paduka Baginda pada Julai 2024.
“Pendekatan moden mempersembahkan warisan Raja ini bertujuan merapatkan jurang geografi dan budaya, terutama di Sarawak yang mungkin tidak berpeluang menyaksikan secara dekat disebabkan peraturan tertentu.
“Tetapi saya percaya pameran secara digital ini membolehkan para pengunjung melihat secara terperinci dan lebih dekat, sekali gus mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan diraja,” tambahnya sambil memberitahu pihak berkaitan sedang mencari cara untuk menjadikan kandungan digital tersebut lebih mudah diakses selepas tempoh pameran.
Dalam pada itu, lebih 272 koleksi berkaitan serta peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dipamerkan pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara sehingga 29 September ini yang merupakan sebahagian daripada acara yang disusun sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pameran itu menterjemahkan kepada rakyat mengenai Institusi Raja Berperlembagaan yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri, harus dipertahankan dan diperjuangkan sebagai kedaulatan negara bangsa selaras Rukun Negara yang kedua, Kesetiaan Kepada Raja dan Negera.





