ARTIKEL

TUN PEHIN SRI DR WAN JUNAIDI ketika melawat pameran Pameran Reqaseni Ke-20: Pameran Seni dan Reka Bentuk (AD Expo 2026) di The Spring baru-baru ini.

Pameran seni angkat identiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pameran Reqaseni Ke-20: Pameran Seni dan Reka Bentuk (AD Expo 2026) menjadi medan penting untuk pelajar tahun akhir mempamerkan karya terbaik mereka sebelum menamatkan pengajian diploma.

Menurut Ketua Projek yang juga pelajar semester akhir Diploma Seni Halus, Nabil As-Syakirin Mohd Suratmin yang lebih dikenali sebagai Kirin, pameran ini merupakan kemuncak perjalanan akademik mereka.

“AD Expo 2026 bukan sekadar pameran biasa, tetapi simbol usaha dan pengorbanan kami sepanjang hampir tiga tahun pengajian.

Setiap karya yang dipamerkan membawa cerita, pengalaman dan identiti kami sebagai pelajar seni.

“Fakulti kami di sini menawarkan dua program, iaitu Seni Halus dan Seni Reka.

Program saya ialah Seni Halus yang mempunyai empat disiplin utama, iaitu lukisan, catan, arca dan seni cetak.

“Justeru, pengunjung dapat melihat kepelbagaian pendekatan serta penerokaan medium yang berbeza dalam setiap karya,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak baru-baru ini.

Menariknya, tema yang diketengahkan kebanyakannya menjurus kepada identiti dan suasana Sarawak, selari dengan pengalaman mereka menimba ilmu di Bumi Kenyalang.

Walaupun berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Selangor, pengalaman Kirin belajar di Sarawak selama dua tahun setengah memberikan inspirasi yang mendalam terhadap penghasilan karyanya.

Dia memilih ikan terubuk masin sebagai subjek utama kerana ikan tersebut merupakan salah satu ikon negeri itu.

LUKISAN baju tradisional Bidayuh antara lukisan yang berjaya mencuri tumpuan para pengunjung di pameran seni tersebut.

“Ikan terubuk masin bukan sekadar makanan tradisi, tetapi lambang identiti dan kehidupan masyarakat pesisir.

“Saya mahu mengangkat simbol ini sebagai penghargaan kepada Sarawak yang banyak memberikan pengalaman baharu kepada saya,” jelasnya.

Proses menghasilkan karya akhir bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap pelajar perlu melalui pelbagai peringkat seperti membuat lakaran awal, menyediakan draf, menjalani sesi kritikan bersama-sama pensyarah, serta memilih teknik dan medium yang paling sesuai.

Keseluruhan proses tersebut mengambil masa berbulan-bulan sebelum karya akhir benar-benar siap untuk dipamerkan.

Bagi Kirin, kecenderungannya lebih terarah kepada teknik catan dengan penggunaan medium akrilik.

Sementara itu, dalam bidang seni cetak, beliau mempelajari teknik tradisional seperti penyediaan bingkai, penggunaan stensil dan susunan cetakan yang sistematik.

Perkembangan kemahiran yang dilalui sejak semester satu hingga semester lima membina keyakinan dirinya terhadap hala tuju dalam bidang seni.

Sambutan pada hari pertama pameran ternyata memberangsangkan.

Pengunjung yang hadir bukan sahaja terdiri daripada keluarga dan rakan, malah orang awam yang tertarik untuk melihat karya yang dipamerkan di ruang pusat beli-belah.

Lebih mengejutkan, pada hari terakhir yang juga merupakan hari perasmian penutup AD Expo 2026, pameran tersebut turut dikunjungi oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau yang kebetulan berkunjung ke pusat beli-belah berkenaan bersama-sama ahli keluarganya turut meluangkan masa melawat pameran tersebut.

Sepanjang lawatan lebih setengah jam itu, Tun Wan Junaidi mendengar taklimat ringkas mengenai konsep pameran serta meninjau pelbagai hasil karya kreatif pelajar yang menggabungkan elemen kontemporari dan tradisional.

Lawatan tersebut turut diteruskan ke seksyen The Unforgettable Tales Expo, iaitu inisiatif kreatif yang memfokuskan kesedaran alam sekitar, khususnya isu pencemaran plastik dan kesannya terhadap ekosistem marin.

SUASANA sekitar pameran seni lukisan anjuran pelajar seni tahun akhir, UiTM Sarawak.

Tun Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, khususnya seluruh warga Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), atas penganjuran pameran yang menarik itu serta mendoakan agar semua pelajar yang terlibat terus maju jaya pada masa hadapan.

“Kami berharap pameran ini menjadi batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia seni, sama ada sebagai artis profesional mahupun pereka kreatif,” tambah Kirin.

Malah, terdapat pengunjung yang menunjukkan minat serta bertanya tentang proses pembelian melalui pensyarah yang bertanggungjawab.

Antara karya yang paling mendapat perhatian ialah karya bertemakan busana Bidayuh yang diterjemahkan dalam pelbagai disiplin seni.

Sementara itu, antara pelajar yang mencuri perhatian ialah Syarifah Zaila Ayuni Niya Zainudin, 21 tahun, yang berasal dari Sandakan, Sabah.

Tema projeknya, Myself, mengetengahkan budaya Sarawak melalui busana tarian Bidayuh.

“Walaupun saya bukan berasal dari Sarawak, pendedahan awal terhadap tarian dan busana Bidayuh memberikan inspirasi kepada saya untuk memahami budaya ini dengan lebih mendalam melalui karya seni,” ujarnya.

Dalam karya Zaila Ayuni yang mesra disapa Yun, elemen seperti topi Bidayuh, rantai, selendang dan choker diolah melalui teknik campuran media.

“Saya menggunakan lapisan awal plaster paris sebelum diwarnakan dengan akrilik dan disempurnakan menggunakan pastel minyak.

Setiap karya mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan.

“Sepanjang tempoh pengajian, kami turut berdepan cabaran emosi dan tekanan akademik.

Namun, kami belajar mengurus tekanan melalui aktiviti yang sihat serta mendapatkan sokongan rakan dan keluarga.

“Inspirasi saya juga datang daripada tokoh seni tempatan seperti Jalaini Abu Hassan yang terkenal dengan komposisi dan kekuatan visual dalam karya-karyanya,” katanya.

Secara keseluruhannya, AD Expo 2026 bukan sekadar pameran penutup diploma, tetapi medan pembelajaran sebenar dalam pengurusan acara, komunikasi awam dan pembinaan keyakinan diri.

Pameran ini membuka ruang kepada pelajar untuk memperkenalkan karya kepada masyarakat serta membina jaringan profesional.

Melalui pameran ini, generasi muda UiTM Sarawak membuktikan seni bukan sekadar hobi, tetapi satu bentuk ekspresi diri dan potensi kerjaya yang mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan.

Pameran ini merupakan acara tahunan anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Sarawak dengan kerjasama pusat beli-belah The Spring pada 14 dan 15 Februari lalu.

Pengunjung berpeluang menyaksikan hasil seni yang bukan sahaja kreatif dan inovatif, malah sarat dengan identiti tempatan.

Pameran ini bukan sekadar platform akademik, tetapi simbol kematangan dan kesinambungan tradisi seni dalam kalangan mahasiswa.

Pada masa yang sama, lebih 50 pelajar daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka terlibat, merangkumi bidang Seni Halus dan Seni Reka.

Para pelajar mempersembahkan karya tahun akhir masing-masing yang lahir daripada proses panjang penyelidikan, eksperimen teknik dan perbincangan bersama-sama pensyarah.

Dalam pada itu, majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, sekali gus memberikan pengiktirafan rasmi terhadap usaha dan komitmen para pelajar.

Selain pameran utama, turut diadakan pasar seni yang menjual karya berskala kecil seperti arca mini dan potret.

Aktiviti mewarna untuk pengunjung, termasuk pertandingan berbayar dan percuma, turut dianjurkan bagi menggalakkan pelibatan komuniti.

YUN bergambar di sebelah karya lukisannya yang bertemakan baju tradisional Bidayuh.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU