ARTIKEL

MICHAEL Tiang (tengah) semasa memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik rumah berkenaan

Pampasan kos pemasangan tangki septik: 125 pemilik rumah di Taman Rejang belum mendaftar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Seramai 125 pemilik rumah di Taman Rejang masih belum mendaftar untuk menerima pampasan bagi kos pemasangan tangki septik.

Rentetan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee menggesa mereka untuk berbuat demikian sebelum tarikh akhir pada 4 Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga turut menyatakan bahawa proses pendaftaran boleh dilakukan di pusat khidmat beliau atau dengan menghubungi nombor yang disediakan.

Menurut Michael Tiang, seramai 195 pemilik rumah tampil mendaftar setakat ini, namun masih terdapat ramai yang belum mengambil langkah tersebut.

“Saya ingin menyeru baki pemilik rumah yang masih belum mendaftar agar hadir segera.

“Ini peluang mereka untuk mendapatkan semula pampasan yang layak diterima atas inisiatif sendiri mereka sebelum ini,” katanya di sini, hari ini (Jumaat).

Terdahulu, Michael Tiang bersama-sama ketua masyarakat setempat memaklumkan perkara tersebut secara bersemuka terus dengan pemilik rumah berkenaan di Taman Rejang.

Pampasan ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada penduduk yang menggunakan wang sendiri untuk memasang tangki septik individu sebelum projek sistem pembetungan pusat siap sepenuhnya.

Inisiatif ini merupakan hasil peruntukan RM3 juta yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kempen Pilihan Raya Umum 2018.

Projek itu turut melibatkan kerjasama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan merangkumi kerja-kerja pemasangan semula tangki septik, pembaikan sistem pembetungan serta penyelenggaraan di kawasan perumahan dan komersial.

Untuk tujuan pendaftaran, pemilik rumah perlu membawa dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, geran tanah, dan bil utiliti atau bil taksiran sebagai bukti pemilikan.

Beliau juga mengajak seluruh komuniti di Taman Rejang agar menyebarkan maklumat ini kepada jiran dan ahli keluarga yang mungkin masih belum maklum tentang proses tersebut.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan terus ke pusat khidmat beliau atau melalui talian 012-7609822.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU