ARTIKEL

Panas tiba-tiba hujan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CUACA dunia sekarang memang sudah tidak menentu. Pagi cerah, tiba-tiba tengah hari akan hujan lebat.

Bak kata orang, “Sik ada amaran tibatiba hujan turun.”

Lepas hujan lebat, cuaca pula boleh menjadi panas terik.

Malah ketika memandu dalam keadaan cuaca panas terik, tiba-tiba hujan turun. Dalam satu kilometer perjalanan di depan, tiada pula hujan.

Jalan raya kering. Situasi ini yang sering kita alami sekarang disebabkan perubahan cuaca yang tidak dijangka.

Jadi, kita harus bersedia dengan perubahan cuaca yang tidak menentu.

Dengan kata lain, kita juga harus peka dengan ramalan kaji cuaca bagi memastikan kita siap siaga dengan segala kemungkinan perubahan cuaca yang agak mendadak sekarang.

Misalnya, jika cuaca diramalkan panas terik untuk tempoh beberapa minggu, bermakna kita harus membuat persediaan dari segi bekalan air minuman.

Pastikan diri kita dan keluarga kita minum air secukupnya, bagi memastikan badan tidak kekurangan air.

Pada masa yang sama, mula menyimpan air di rumah sebagai usaha jika berlaku catuan air disebabkan cuaca kering.

Mungkin air di loji penyimpanan mula mengurang.

Seperkara lagi, sentiasa mendapatkan jadual penghantaran air bersih jika berlaku kekurangan air melampau. Itu jika berlaku panas melampau.

Bagaimana pula dengan ramalan akan berlaku hujan tanpa henti juga untuk tempoh tertentu?

Apa yang akan terjadi jika hujan diramal turun tanpa henti untuk tempoh dua hingga tiga hari?

Jawapannya akan berlaku banjir di kawasan rendah, dan kawasan yang berisiko dilanda banjir.

Ini lagi penting kerana ada kawasan yang akan mengalami banjir kilat walaupun hujan turun dengan lebat hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam.

Situasi ini menuntut kita untuk lebih waspada dan berjaga-jaga.

Tiada istilah untuk tunggu dan lihat setelah mendapat laporan ramalan hujan lebat serta banjir akan berlaku seperti dihebahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Tindakan segera harus diutamakan, terutamanya dalam memastikan setiap ahli keluarga berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Dengan ini, tidak boleh lena tidur pada waktu malam yang diramal berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir.

Seperti yang selalu dikongsikan di media sosial, iaitu rakaman video sesetengah orang yang tidak sedarkan diri (sedang tidur) walaupun separuh badan sudah ditenggelami air.

Ia bukan untuk dimain-main.

Silap-silap boleh mengundang bahaya — boleh mati lemas.

Persiapan awal Saya mempunyai ahli keluarga yang rumah mereka di tepi sungai.

Setiap kali hujan turun tanpa henti, setiap kali itu juga air banjir memasuki ke dalam rumah mereka.

Dan setiap kali itu juga mereka mengalami kerugian — set sofa rosak ditenggelami air.

Begitu juga dengan perabot-perabot lain.

Selepas banjir reda, saya pergi ke rumah mereka dan melihat air setinggi tujuh kaki masuk ke dalam rumah.

Ketinggian yang turut boleh menenggelamkan saya.

Banyak perabot rosak, malah soket elektrik juga rosak. Perlukan penggantian baharu.

Bagi mengelakkan risiko kerugian yang sama, mereka membuat persiapan awal pada setiap masa.

Sama ada ramalan cuaca hujan berterusan atau panas, persiapan tetap perlu dibuat awal.

Paling diutamakan adalah keselamatan ahli keluarga.

Tingkat bawah rumah yang sebelum ini dinaiki air sehingga tujuh kaki dijadikan ruang tamu yang hanya menempatkan perabot kayu yang tidak akan rosak jika ditenggelami air banjir.

Jika berlaku banjir, hanya barangbarang kecil dan ringan yang diangkut ke tingkat dua rumah.

“Jadi, sik banyak barang akan rosak,” kata ahli keluarga saya.

Pada masa yang sama, pendawaian elektrik rumah juga diubah semula.

Soket elektrik ditinggikan bagi memastikan tidak akan terendam dalam banjir.

Dengan itu, usaha ini akan memastikan sesiapa sahaja tidak akan terkena renjatan elektrik.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan memastikan bekalan makanan mencukupi terutama setelah mendapat tahu akan berlaku hujan lebat tanpa henti dan ramalan akan berlaku banjir.

Ini bagi memastikan setiap ahli keluarga tidak kelaparan sebelum menerima bantuan makanan ataupun sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Bantuan kerajaan Kita bersyukur kerana kerajaan sudah membuat persiapan awal bagi memastikan segala keperluan mencukupi dalam menghadapi bencana banjir ekoran musim monsun timur laut yang semakin hampir.

Antara langkah yang diambil adalah memastikan keperluan bekalan makanan; kemudahan pengangkutan; kekuatan kakitangan dan sukarelawan; penyediaan pangkalan hadapan; kapasiti simpanan keperluan bencana yang cukup; serta penyediaan pusat pemindahan sementara.

Memetik Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, Jabatan Kebajikan Masyarakat melantik 252 pembekal makanan di seluruh Sarawak untuk membekalkan makanan ke PPS.

“Langkah ini akan memastikan bekalan makanan mencukupi untuk semua penduduk di PPS.

Selain itu, JKM telah bergerak untuk mengisi pangkalan hadapan dengan keperluan-keperluan bencana di 29 pangkalan hadapan.

“Pangkalan-pangkalan ini terletak di kawasan yang mudah terjejas banjir, jarak yang jauh, dan sukar untuk penghantaran bantuan kerana terputus hubungan dan jarak yang jauh,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam juga bersedia untuk diatur gerak pada bila-bila untuk membantu memindahkan mangsa banjir.

Kedua-dua agensi ini turut mengadakan latihan simulasi penyelamatan berkaitan banjir.

Semua ini bagi memastikan operasi memindahkan mangsa banjir lancar dan terancang.

Apa-apa pun, persiapan perlu pada kita sendiri, terutama yang tinggal di kawasan boleh berlaku banjir.

Selain keselamatan diri dan ahli keluarga, simpan segala dokumen penting ke dalam bekas khas yang tidak dimasuki air.

Kemudian simpan di tempat tinggi yang mudah untuk digapai apabila perlu berpindah ke PPS. Seterusnya, pastikan bekalan elektrik di rumah dimatikan sebelum berpindah ke PPS.

Paling utama jangan degil apabila diarahkan berpindah.

Utamakan keselamatan diri berbanding harta benda.

Kemudian waspada dengan binatang liar dan berbisa, selain jangan meredah kawasan banjir, sama ada berjalan kaki, berenang atau menggunakan kenderaan ringan.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU