KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang serius isu serta cabaran disebabkan oleh tapak pelupusan sampah dan tapak pembuangan terbuka, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Penguang Manggil.
“Ini termasuk pelepasan gas rumah hijau seperti gas metana yang memudaratkan atmosfera serta tempat pembiakan tikus, nyamuk dan penyakit bawaan udara.
“Tapak pelupusan sampah di Sri Aman juga tidak terkecuali seperti yang sedia ada di Entulang hanya seluas satu hektar, dibuka pada 1983 dan menerima sisa pepejal dari taman perumahan, kawasan bandar Sri Aman, sekolah luar bandar, Temedok, Batu Lintang dan kawasan Melugu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bukit Bengunan Datuk Mong Dagang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Sehingga hari ini, katanya, tapak tersebut hampir mencapai kapasiti tampung maksimum dan dijangka tutup dalam masa terdekat.
Jelasnya, kementeriannya, memulakan tinjauan menyeluruh untuk menilai kebolehlaksaan penutupan tapak sedia ada dan membangunkan seluas 8.6090 hektar di Bukit Geran, Sri Aman yang telah diluluskan pada 2008.
“Bagi jangka masa pendek, sisa pepejal yang dimendapkan di tapak pelupusan sampah Entulang boleh diangkut ke tapak pelupusan sampah terbuka Lingga seluas 2.5 hektar iaitu 48.6 kilometer atau 55 minit dari Sri Aman.
“Manakala, untuk tempoh jangka masa panjang, Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk merumuskan amalan pengurusan sisa pepejal mesta alam dan mampa.
“Ini seperti menggunakan insinerator, tapak pelupusan sanitari atau gabungannya dan teknologi canggih lain selaras dasar kami meneruskan kehijauan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Penguang memberitahu ia juga selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG13) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS-2030) yang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Sarawak dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim di seluruh dunia.
Menyentuh tentang purata sisa buangan di tapak pelupusan Entulang, beliau memberitahu setakat ini, jumlah sisa adalah kira-kira 130 tan sehari.
Dalam pada itu, beliau menyatakan terdapat tujuh tapak pelupusan sampah sanitari di Sarawak iaitu Mambong, Kemuyang, Sibuti yang dikategorikan sebagai tapak pelupusan sampah aras empat.
Tambahnya, tapak pelupusan sampah Tebedu dalam kategori aras dua, manakala Lubok Antu, Engkelili dan Maradong diklasifikasikan sebagai aras satu.



