ULASAN buku kali ini mungkin agak langka kerana sememangnya sukar sekali kita dapat membaca buku berkaitan muzik rock dalam bahasa Melayu di pasaran tempatan.
Saya membelinya secara dalam talian selepas tertarik melihat gambar muka depan yang mempaparkan kumpulan rock terkenal suatu ketika dahulu.
Walaupun, zaman kegemilangan atau era seluar ketat, kasut Aliph dan rambut panjang itu sudah lama berlalu, namun bagi yang pernah melaluinya kenangan itu terlalu besar.
Justeru, saya tidak lepaskan peluang mendapatkan buku ini, jika tidak membacanya pun, sekurang-kurang dijadikan koleksi buat tatapan generasi akan datang.
Perlu diakui orang kita memang jarang menghasilkan buku biografi , apatah lagi buku tentang muzik rock.
Adakah kerana tidak ada kecenderungan ke arah itu atau sememangnya masyarakat tidak berminat mengetahui tentangnya?
Justeru, agak beruntung bagi mereka yang sudah “menggenggam” buku ini, kerana ia merupakan naskhah langka yang mengandungi analisis muzik hasil garapan penulis hebat.
Antaranya, Dr. Raja Iskandar Raja Halid, Dr Wan Wan Zawawi Ibrahim, Meor Yusuf Aziddin, Wan Ahmad Shaufi q Wan Ahmad Nasri, Mohd Rosli Ibrahim, Muhamad Hafi fi Mokhtar Shazni Bhai, Dr Norman Yusoff, Muhammad Daniyal Abd Kadir, Nasir Jani, Dr Ibrisam Akbar, Nizam Hamid dan U-Wei Haji Saari.
Menghimpunkan pendapat, kajian, pemerhatian dan pengalaman beberapa individu terpilih untuk simposium muzik Ipoh pada 2020, Rock Kapak memberi makna tersendiri kepada pembaca khususnya peminat muzik yang pernah mewarnai industri hiburan negara suatu ketika dahulu.
PERNAH DIHARAMKAN
Umum mengetahui muzik rock pernah melalui zaman kelam apabila ia diharamkan berikutan kekacauan yang berlaku sewaktu konsert Battle of the Bands di Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 3 September 1986.
Berikutan itu, kerajaan mengambil langkah drastik mengumumkan pengharaman ke atas sebarang konsert muzik rock berkuat kuasa serta-merta ketika itu.
Pada 1992 pula, Kementerian Penerangan membuat garis panduan untuk rambut apabila artis lelaki tidak boleh melebihi paras bahu dan sekiranya ingkar tindakan mengharamkan lagu dan artis terbabit muncul di televisyen.
Peraturan baharu itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada artis kerana bagi mereka, rambut merupakan imej sehinggakan ada yang “digam”.
Justeru, lagu mereka juga diharamkan berkumandang di radio dan televisyen.
ROCK PELBAGAI PERSPEKTIF
Zaman kegemilangan rock kapak di Malaysia adalah antara 1983 hingga 1993.
Sesiapa yang pernah melalui alam remaja dan belia pada ketika itu, pasti masih ingat pengaruh rock di mana-mana sahaja.
Dari kaset hinggalah ke cakera padat, wajah artis rock menjadi pembalut kulit buku sekolah, manakala poster mereka pula menghiasi almari, bilik rumah dan kolej.
Pendek kata, ketika itu rock ada di mana-mana.
Bak kata Meor Yusuf Aziddin dalam tulisannya, Rock Kapak dan Mimpi Anak Muda 80-an, pengaruh rock kapak dalam kalangan anak muda zaman itu sangat hebat.
Mereka sangat bangga dengan imej mereka berambut panjang dan berseluar ketat dan di pelosok kampung serta kota ada sahaja band rock ditubuhkan.
Buku ini bukan sekadar menyingkap perjuangan suka duka artis rock, tetapi turut mengupas isu ekonomi, sosial, jenayah cetak rompak, selain estetika kerohanian dalam lirik lagu yang dipersembahkan.
Memetik kata Pengurus Besar People Of Remarkable Talent (Port) Nur Hanim Mohamed Khiruddin, pelbagai penulisan, teks pembentangan, makalah dan transkripsi verbatim yang dihidangkan dalam buku ini mengemukakan beraneka isu menarik dan digarap dari beberapa perspektif seperti sejarah, estetika muzik, pengalaman peribadi dan sorotan kritikal.
Justeru, penerbitan buku Rock Kapak boleh dianggap sebagai sumbangan penting ke arah penerbitan buku tentang muzik di Malaysia walaupun naskhah seumpama ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ledakan teknologi digital tanpa sempadan.