PANTAI KAMPUNG PUGU yang landai ini menjadi pilihan utama pengunjung, di samping menawarkan pemandangan semula jadi yang menarik.
Laut China Selatan yang terbentang luas dengan airnya yang kebiruan, serta dihiasi beberapa pulau yang tersergam indah, benar-benar mempesonakan.
Pantai Pugu turut diketahui umum sebagai lokasi yang menawarkan fenomena unik sky mirror yang semakin menjadi tarikan.
Dengan keistimewaan ini, Pantai Pugu bukan sahaja sesuai untuk aktiviti riadah, malah ideal sebagai destinasi percutian keluarga.
Di tepi Pantai Pugu, pokok ru yang tinggi menghijau bergoyang ditiup sang pawana pada waktu pagi dan senja.
Selain itu, pengunjung boleh memilih untuk bermalam di tapak khemah atau chalet kampung yang dikenali sebagai Permata Pugu, iaitu penginapan kendalian usahawan tempatan.
Suasana damai di sini memberikan pengalaman yang berbeza berbanding penginapan moden di bandar.
Pada hujung minggu, 2 dan 3 Ogos yang lalu, keluarga Muhamad seramai 27 orang termasuk isteri, anak-anak, menantu serta cucu-cucu mengadakan Hari Keluarga Tahun 2025.
Mereka menginap di Oren House yang terletak berhampiran Pantai Kampung Pugu.
Rombongan keluarga ini bertolak dari bandar raya Kuching pada jam 12.00 tengah hari dengan menaiki enam kenderaan dan tiba di Kampung Pugu sekitar jam 3.00 petang.
Tema percutian kali ini ialah “pakaian putih, minda cerdas dan badan sihat”.
Matlamat utamanya adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga, melupakan seketika kesibukan hidup di bandar, serta menikmati saat-saat santai di tepi pantai sambil menyertai aktiviti mini sukaneka.
Pada 2 Ogos, lima pasukan mengambil bahagian dalam acara mini sukaneka, iaitu Kumpulan Kuning, Biru Muda, Hijau, Merah dan Biru Tua.
Acara dimulakan pada jam 4.00 petang.
Perbarisan pasukan membuka tirai sebelum permainan dimulakan.
Antara acara yang dipertandingkan adalah menyambut bola, membawa belon dalam cawan kertas, pijak belon dan rampas botol.
Keputusan pertandingan menyaksikan Hariq Aiman (Kumpulan Biru Muda) memenangi acara pertama, manakala acara kedua dimenangi oleh Kumpulan Kuning.
Bagi acara ketiga, pemenangnya ialah Adam Danish dan Ahmad Shukery (Kumpulan Biru Muda), serta Mohd Iqmal (Kumpulan Merah).
Acara terakhir pula dimenangi oleh Zetty Batisya (Kumpulan Kuning).
Juara keseluruhan jatuh kepada Kumpulan Biru Muda, diikuti Kumpulan Kuning di tempat kedua dan Kumpulan Biru Tua di tempat ketiga.
Acara berakhir sekitar jam 6.00 petang.
Pada sebelah malam, acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, disusuli dengan cabutan bertuah serta sambutan hari jadi Hana Afi a yang berusia sembilan tahun.
Pada keesokan harinya, aktiviti diisi dengan bersantai di pantai sambil merakam foto kenangan.
Suasana mesra dan riang jelas terpancar di wajah setiap ahli keluarga.
Setelah itu, mereka berkemas dan bertolak pulang ke Kuching sekitar jam 3.00 petang.
Walaupun singkat, percutian ini meninggalkan memori indah yang akan terus dikenang.






