SELANGOR: Skuad para badminton Sarawak menutup tirai temasya Sukan Para SUKMA Selangor 2026 sebentar tadi dengan penuh kejutan.
Sarawak berjaya meraih tiga pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal dua pingat emas.
Tiga pingat emas bagi kem kendalian jurulatih berpengalaman luas, (Suhaili Laiman) diperoleh menerusi pemain perseorangan wanita (SL4), Nursyazwani Shahrom dan pemain perseorangan kerusi roda lelaki (WH2), Ashley Irenaeus Jeck serta gandingan beregu campuran (SL3-SU5), Nursyazwani Shahrom dan Gregory Kanyan.

“Gembira dan sedikit teruja kerana penyudah penampilan kami kali ini berjaya meraih tiga pingat emas.
“Ia pada dasarnya berjaya melepasi sasaran awal sebelum ini dengan dua pingat emas,” ujar Suhaili kepada Arena Suara Sarawak.
Suhaili pada masa yang sama turut menzahir rasa kagum dengan prestasi hebat dipamer pemain yang telah berusaha menampilkan aksi terbaik.


