ARTIKEL

Gambar dikongsikan oleh Semangot Seman menunjukkan paras air Batang Sadong surut luar biasa.

Paras Air Batang Sadong surut luar biasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Paras air Sungai Batang Sadong berhampiran Kampung Tanah Puteh di sini surut sehingga mencecah buku lali sejak tiga minggu lalu, dengan aktiviti mengorek pasir di bahagian hulu dipercayai menjadi punca.

Penduduk kampung, Razzi Raduan, 40, berkata sepanjang hidupnya, dia tidak pernah melihat paras air sungai surut sehingga paras berkenaan.

Gambar dikongsikan oleh Razzi Raduan menunjukkan penduduk kampung terpaksa menyorong bot melalui air sungai yang cetek.
Gambar dikongsikan oleh Razzi Raduan menunjukkan hasil tangkapan pelbagai jenis ikan sungai.

Katanya, dalam keadaan normal, paras air di kawasan itu boleh mencecah kedalaman kira-kira dua meter, namun kini hanya setakat buku lali.

Menurutnya, keadaan itu mungkin berpunca daripada aktiviti manusia berikutan terdapat kira-kira empat hingga lima kapal korek di bahagian hulu sungai berkenaan.

Semangot Seman ketika ditemui Suara Sarawak menunjukkan Sungai Batang Sadong surut pada waktu tertentu. | Foto Ghazali Bujang.
Razzi Raduan memberitahu paras air sungai Batang Sadong surut bukan disebabkan fenomena alam atau cuaca kering. | Foto Ghazali Bujang.

“Dikatakan kemarau pun susah kerana mungkin ada kaitan dengan aktiviti manusia, lebih-lebih lagi terdapat beberapa kapal korek di bahagian hulu,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sini, hari ini.

Katanya, keadaan sungai yang cetek turut menarik perhatian penduduk, terutama kanak-kanak yang mengambil kesempatan bermain dan berjalan di tengah sungai.

Razzi Raduan memeriksa bot dan jala sebelum turun memancing. | Foto Ghazali Bujang
Paras Sungai Batang Sadong kembali normal. | Foto Ghazali Bujang

“Penduduk pun ambil kesempatan memancing dan menjala ikan serta udang, manakala ada yang mengambil gambar dan berkongsi keadaan sungai ini di media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, Razzi berkata keadaan air surut itu tidak berpanjangan berikutan perubahan pasang surut sebelum paras air kembali normal.

“Benak masih berlaku, cuma ombaknya kecil sahaja di sebelah sini,” katanya.

Menurutnya, keadaan air surut itu bagaimanapun sedikit banyak menjejaskan mata pencarian penduduk yang bergantung kepada aktiviti menangkap ikan dan udang.

Katanya, nelayan yang menggunakan bot atau perahu menghadapi kesukaran untuk bergerak ketika paras air terlalu rendah sehingga terpaksa menyorong bot ke kawasan yang lebih dalam.

Razzi berkata, selain aktiviti mengorek pasir, perubahan aliran air dari hulu ke terusan lain juga mungkin menjadi antara faktor menyebabkan paras air sungai berkenaan surut.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Tanah Puteh, Semangot Seman, 71, berkata keadaan sungai surut sehingga ke paras berkenaan jarang berlaku di kawasan itu.

“Memang baru-baru ini berlaku. Sebelum ini ada juga keadaan air surut, tetapi tidak pernah sampai sebegini,” katanya.

Kejadian luar biasa itu turut menarik perhatian penduduk apabila gambar dan video keadaan Sungai Batang Sadong yang surut dikongsikan di media sosial.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha