SARATOK: Pemandu kenderaan berat diingatkan agar mematuhi prosedur keselamatan semasa memarkir kenderaan di bahu jalan khususnya di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo terutamanya pada waktu malam bagi mengelak kemalangan dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kenderaan berat seharusnya diparkir di lokasi selamat seperti hentian yang dibenarkan selain memastikan lampu kecemasan dinyalakan dan tanda amaran segitiga dipasang untuk memberi isyarat awal kepada pengguna lain.
“Pematuhan aspek keselamatan ini amat penting bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenak kemalangan membabitkan dua buah lori awal pagi tadi di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Simpang Roban menghala ke Sarikei.
Menurutnya, polis merakam percakapan kedua-dua pemandu terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian sekitar jam 6.27 pagi, seorang kelindan dari Muara Tebas mengalami kecederaan ringan di bahagian mulut, lidah dan kaki kiri.
Mangsa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Roban manakala empat lagi individu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak polis menasihatkan semua pemandu lori agar lebih peka terhadap keperluan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama.





