KUCHING: Parlimen Stampin yang mempunyai 121,009 pengundi layak menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Ia antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lo Khere Chiang, Chong Chieng Jen daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lue Cheng Hing daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) namun menggunakan logo Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk bertanding.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Stampin, Henry Jalin Watt mengumumkan telah menerima tiga kertas penamaan pencalonan sebaik sahaja tempoh penghantaran borang penamaan calon tamat pada jam 10 pagi di Majlis Perbandaran Padawan (MPP), di sini, hari ini.

“Saya telah selesai menyemak borang-borang penamaan, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak kertas penamaannya.
“Dengan ini saya mengesahkan calon-calon yang bertanding di Parlimen Stampin ialah seperti berikut berdasarkan susunan di dalam kertas undi.
“Calon pertama adalah Chong Chieng Jen daripada DAP, kedua ialah Lo Khere Chiang (GPS) dan ketiga Lue Cheng Hing (PSB),” katanya
Pertembungan tiga penjuru kali ini menarik memandangkan pada PRU-14, Parlimen Stampin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian yang ketika itu bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) menentang Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak. Ketika itu kerusi tersebut dimenangi Chong dengan majoriti 14,222 undi.
Parlimen Stampin merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah.
Terdahulu, suasana hangat di luar pusat penamaan calon itu apabila menyaksikan pertembungan hampir ratusan penyokong parti-parti yang bertanding sambil melaungkan slogan masing-masing.
Bermula dengan kehadiran Lue, 58, pada jam kira-kira 8.25 pagi. Beliau hanya ditemani Pencadang Raymond Thong dan Penyokong Wong Tun Teck untuk menghantar borang penamaan calon.
Kemudian suasana mula gamat sebaik sahaja Lo tiba diiringi sekitar 100 penyokong yang berarak dengan membawa bendera GPS sambil melaung ‘GPS menang menang menang, YB Lo menang menang menang’ sebagai pencetus semangat.
Lo yang pertama kali bertanding di peringkat Parlimen memasuki pusat penamaan calon pada jam 8.47 pagi bersama-sama Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak selaku Pencadang dan Adun Kota Sentosa Wilfred Yap sebagai Penyokong.
Sementara itu, Chong yang ditemani hampir 50 orang penyokong termasuk ibunya Jen Sim Yaw Sik dan bapanya Chong Siew Chiang memasuki pusat penamaan calon untuk menghantar borang tepat pada jam 9.00 pagi. Turut sama Pencadang Hiu Kuan Fah dan Penyokong Tay Kay Chee.