Pasar bebas maklumat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PADA petang Jumaat lalu, saya telah ditemu bual oleh sebuah stesen TV berkaitan isu survival dan hala tuju kebebasan media di negara ini.

Sempena Hari Kebebasan Media awal bulan ini, Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan media Dunia 2023 menurut laporan Reporters Without Borders, berbanding di tangga ke-133 tahun lepas.

Ini merupakan satu lonjakan besar, malah yang terbaik sejak laporan itu disediakan oleh RSF pada 2002.

Indeks berkenaan bertujuan membandingkan tahap kebebasan pengamal media di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.

RSF ialah sebuah pertubuhan kerajaan antarabangsa yang berpangkalan di Paris.

Dengan itu, Malaysia juga negara paling bebas dari segi amalan media dalam kalangan negara Asean.

Kedudukan terbaik yang pernah direkodkan oleh Malaysia adalah pada 2006 ketika kebebasan media negara ini diletakkan di tangga ke-96.

Duri dalam daging yang disifatkan masih mengongkong kebebasan media di negara ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengapakah kebebasan media penting dan sentiasa diberikan perhatian?

Hanya dengan adanya kebebasan, media dapat memainkan peranan sebagai agen semak dan imbang kepada tiga kuasa lain, iaitu legislatif, kehakiman dan eksekutif selari dengan doktrin pemisahan kuasa.

Media dapat jadi jagawan atau watchdog terhadap kerajaan agar kerajaan tidak terlalu berkuasa dan kuat sehingga ia menyalahgunakan kuasa yang dimilikinya.

Kepincangan dan rasuah dapat didedahkan sedangkan jika kerajaan mengawal media, tentu media sentiasa berwaspada agar terelak sarang tabuan daripada dijolok.

Baca lain  Delhi-Beijing bermain api di Ladakh, Kashmir

Media sentiasa takut akan bayangbayang kerajaan dan pemimpin yang berkuasa.

Dengan adanya media yang bebas, maka ia dapat bertindak sebagai pasar bebas maklumat dan pandangan.

Kritikan tanpa gentar dan takut hanya dimungkinkan dengan adanya media yang bebas.

Media harus menjadi anjing yang bukan sahaja berani menyalak, tetapi kalau dapat berani menggigit jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.

Pemimpin dan kerajaan dapat saja menggunakan pelbagai instrumen hegemoninya untuk mencengkam media.

Dalam keadaan demikian, media sentiasa gentar dan takut untuk bertindak sewajarnya.

Kita pernah menyaksikan bagaimana pemimpin mengambil tindakan terhadap media, editor dan pemilik akhbar yang mendedahkan isu 1MDB sebelum ini.

Di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir selama 22 tahun, ada media yang digantung, dicabut permit penerbitan, diberi amaran keras dan diberi surat tunjuk sebab, atas pelbagai alasan.

Ya, ketika itu, media arus perdana terutama akhbar begitu berkuasa dengan edaran yang cukup tinggi.

Kebimbangan utama editor dan pemilik akhbar ketika itu adalah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencabut permit penerbitan, apatah lagi, permit berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 perlu dipohon untuk disambung setiap tahun.

Siapa yang tidak bimbang akan tindakan yang bakal diambil oleh KDN jika mereka melanggar peraturan, termasuk mengkritik pemimpin utama negara? 

Itulah sebabnya ada gesaan agar akta berkenaan dimansuhkan kerana tidak lagi relevan dalam keadaan sekarang.

Betapa tidak, media sosial bebas melakukan apa-apa sahaja, tetapi akhbar dan majalah perlu tunduk kepada peraturan di bawah akta tersebut.

Baca lain  PH terkulai angkara mungkir janji

Maka, wujudlah keadaan dwistandard yang disifatkan tidak adil oleh pengamal media arus perdana.

Selain daripada kerangka perundangan, faktor lain yang mengawal kebebasan media ialah pemilikan, tekanan komersial pengiklanan, pegangan ideologi wartawan dan editor.

Serta gangguan emosi dan fizikal.

Di sebalik segala cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh media, media dituntut supaya membuat laporan yang objektif, bebas, tidak berpihak, seimbang dan adil.

Media perlu terus berperanan menyuburkan demokrasi di negara ini.

Dalam konteks ini, itulah tema Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Perak pada akhir bulan ini — Media Bebas dan Selamat, Tunjang Demokrasi — dapat disifatkan sebagai relevan.

Media bebas ialah tiang seri demokrasi.

Saya yakin kerajaan sedar bahawa dengan kewujudan media baharu, akta yang selama ini bertujuan untuk mengongkong dan mencengkam kebebasan demi kepentingan kuasa dan hegemoni politiknya, tidak lagi relevan.

Akta dan undang-undang berkenaan sudah lapuk, maka perlu dinilai kerelevanannya.

Kita tidak lagi dapat mengongkong kebebasan media memandangkan semua orang sudah ada akses kepada Internet dan media sosial.

Maklumat sentiasa berada di hujung jari mereka meskipun mungkin sahaja maklumat berkenaan tidak semestinya benar atau betul.

Akta yang tidak lagi relevan perlu dimansuhkan, manakala yang lain perlu dipinda dan dimodenkan selari dengan perubahan zaman.

Kita akui tidak ada kebebasan mutlak kerana akhbar di mana-mana pun perlu akur kepada nilai-nilai murni tertentu.

Media di Malaysia pula perlu sensitif ketika membuat laporan berkaitan dengan agama, bangsa dan hal berkaitan raja.

Baca lain  1,464 hari Suara Sarawak

Sebarang berita atau laporan yang berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan krisis kaum dan agama perlu dielakkan.

Itulah sebabnya, media perlu mengamalkan kebebasan yang bertanggungjawab.

Media tidak harus bermain api yang akan membakar diri dan rakyat di negara ini.

Tidak ada gunanya kalau nasi sudah menjadi bubur.

Itulah sebabnya, pengamal media tidak harus terlalu taasub atau ghairah dengan kebebasan yang melampau atas nama pluralisme dan kebebasan.

Akauntabiliti di pihak media penting.

Wartawan dan pengamal media perlu berpegang pada profesionalisme dan etika kewartawanan ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai penyebar maklumat yang bertanggungjawab.

Mereka tidak harus terikut-ikut dengan rentak tari wartawan warga yang kebanyakannya tidak terlatih dari segi kewartawanan.

Itulah sebabnya penting bagi wartawan warga mengamalkkan sikap bertanggungawab.

Tidak salah melakukan saringan kendiri sebelum sesuatu tulisan disiarkan di alam maya.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya.

Tegasnya, kebebasan yang diberi perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab, dengan mengambil kira undang-undang sedia ada dan kesannya terhadap khalayak, rakyat dan negara.

Media perlu menjunjung tinggi etika kewartawanan dan profesionalisme mereka bagi memastikan imej dan reputasi mereka tidak tercalar.

Dengan itu, media dapat terus berperanan menyebarkan maklumat yang betul, benar dan sahih selepas varifikasi dilakukan.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kekurangan guru

BERITA yang menyatakan bahawa Sarawak kekurangan sekitar 3,000 guru tentu

KWSP talian hayat

BAGI pekerja swasta, sebahagian penjawat awam dan mereka yang bekerja

Raya pilihan raya

KITA masih lagi meraikan rumah terbuka Aidilftri. Rumah Terbuka Aidilfitri

Elak khabar angin

PADA Khamis lalu saya telah diundang oleh Angkatan Pertahanan Malaysia

Lain-lain

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang