BINTULU: Pasar Tani Jepak disaran menambah elemen pasar karat sebagai daya tarikan baharu khususnya kepada peminat barangan vintaj selain menjadi platform mempopularkan produk makanan tradisional tempatan.
ADUN Jepak, Iskandar Turkee berkata gabungan tersebut mampu menjadikan Pasar Tani Jepak lebih berwarna-warni dengan menawarkan kepelbagaian pilihan, sekali gus meningkatkan kehadiran pengunjung.
“Selain hasil tani segar, kita mahu Pasar Tani Jepak menampilkan kelainan dengan adanya ruang pasar karat yang menampilkan barangan antik, koleksi dan hobi.
Ini akan menarik golongan muda serta pencinta barangan lama, sekali gus memperkukuh daya tarikan pasar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pasar Tani Jepak pada Sabtu.
Iskandar, pada masa sama menyarankan agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berkolaborasi dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) dalam menganjurkan program mempromosikan makanan tradisional seperti belacan, cencaluk, umai, linut dan tebaloi.





