MIRI: Pasukan bomba menjalankan operasi sanitasi ke atas bas yang digunakan untuk mengangkut penumpang luar Sarawak yang tiba di Lapangan Terbang Miri di sini menuju ke hotel bagi tujuan kuarantin.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, ini bagi memastikan bas tersebut sentiasa bersih dan selamat untuk kegunaan penumpang. “Bas perlu disanitasi sepenuhnya supaya ia tidak membahayakan penumpang lain kelak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, semalam, bas Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri digunakan untuk mengangkut 14 orang yang tiba di Miri dengan menaiki penerbangan Mas Wings dari Labuan dan dihantar ke salah satu hotel untuk tujuan kuarantin.
“Bas yang sudah disanitasikan sepenuhnya akan dibenarkan untuk tugasan baharu iaitu mengangkut penumpang seterusnya,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin mengumumkan bahawa enam buah hotel di Miri bersedia dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi memuatkan penumpang luar Sarawak yang tiba di Lapangan Terbang Miri.
Difahamkan, enam buah hotel tersebut mempunyai kapasiti kumulatif sebanyak 700 bilik dan mampu menampung 700 penumpang.
Pada Isnin lalu, seramai 94 penumpang masing-masing 26 orang penumpang penerbangan dari Labuan dan 68 orang dari Kuala Lumpur telah dikuarantin di dua buah hotel ditetapkan.



