KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mendesak pihak berwajib untuk segera mengemukakan pelan lengkap dan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan bekalan air stabil serta masalah banjir di Sibu diatasi dengan tuntas.
Menurutnya, beliau tidak mahu melihat rakyat terus menderita akibat kelewatan dalam tindakan dan memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar langkah sementara yang hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah dihadapi.
Tiong menegaskan bahawa masalah banjir di Sibu berlarutan selama berpuluh-puluh tahun, menyebabkan rakyat terus menanggung kerugian.
“Sampai bila kita mahu biarkan keadaan ini berterusan?
Jangan kata Sibu ini kawasan paya, kerana Sibu bukan kawasan paya.
Saya membesar di sini, saya tahu keadaan sebenar” katanya dalam laman rasmi Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) Sibu Bil.1/2025, hari ini.
Dalam isu banjir di Sibu, Tiong yang juga Adun Dudong berkata beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja mengepam dihentikan dan tumpuan kini diberikan kepada kerja-kerja pendalaman di Sungai Seduan.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM15 juta digunakan untuk mendalamkan muara Sungai Seduan, namun sebahagian sungai sudah tertimbus akibat mendapan dan dipenuhi rumpun rumput.
“Adakah RM15 juta ini mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah?
Pegawai sendiri tidak dapat memberi jawapan yang jelas.
“Jika hanya muara sungai yang didalamkan dengan peruntukan ini, bagaimana pula dengan bahagian lain Sungai Seduan?
Keadaan masih sama, air tidak dapat mengalir keluar dengan lancar, dan banjir akan terus berlaku,” tegasnya.
Menjelas isu bekalan air pula, Tiong berkata rakyat berdepan dengan ketiadaan air untuk jangka masa yang panjang.
Justeru Tiong mendesak Lembaga Air Sibu (SWB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) untuk menyatakan rancangan konkrit untuk menyelesaikan masalah ini.





