MIRI: Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak harus dipastikan sampai kepada golongan sasar dan golongan yang memerlukan.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik kepada Premier berperanan bukan sahaja menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan, malah menjadi penghubung penting bagi memastikan bantuan serta peluang yang disediakan dapat diketahui dan dimanfaatkan oleh rakyat.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier, Datuk Fazruddin Abdul Rahman.
Menurutnya, penyampaian maklumat secara terus kepada masyarakat amat penting agar tidak terhenti pada peringkat dasar.
“Tanggungjawab kita adalah memastikan masyarakat mengetahui kejayaan Kerajaan Sarawak, bantuan yang tersedia dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata demikian pada Program Jangkauan Setiausaha Politik: Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) Khas DUN Pujut di Auditorium SM Pei Min, semalam.
Jelasnya, penyampaian maklumat mengenai agenda pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi projek infrastruktur berskala besar hingga kemudahan asas yang memberikan kesan secara langsung kepada kehidupan seharian masyarakat.
Bagi memastikan usaha tersebut berkesan, kerjasama antara wakil rakyat, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum amat penting bagi mengenal pasti keperluan setempat serta memastikan manfaat pembangunan sampai ke peringkat akar umbi.
Mengenai peningkatan pendapatan Sarawak, Fazruddin menegaskan bahawa peningkatan itu memberikan ruang kepada kerajaan untuk memperluas pelaburan dalam kebajikan rakyat, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan ekonomi.
Di samping itu, usaha memperkukuh syarikat milik Sarawak serta mewujudkan sumber pendapatan berterusan turut penting bagi memastikan negeri mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk membiayai pembangunan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
Program sehari berkenaan turut memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan penerangan secara terus mengenai pelbagai inisiatif kerajaan.
Antaranya ialah perancangan telekomunikasi, bekalan air terawat, elektrik dan gas, pendidikan, bantuan kewangan, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), bantuan pembelian perumahan serta projek Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPS) di kawasan Pujut dan Miri.
Selain sesi taklimat, pameran dan kaunter perkhidmatan turut disediakan bagi membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan agensi berkaitan serta mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai kemudahan yang tersedia.


