Pastikan Kapit bebas Covid-19 – Alexander Nanta

KUCHING: Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan memastikan Kapit bebas semula daripada penularan Covid-19.
Beliau berkata memandang serius penularan pandemik di daerah berkenaan pada beberapa minggu lalu, dan tidak akan mengambil sikap terlalu selesa walaupun tiada kes baru dicatatkan setakat ini.
Setakat ini terdapat dua kes direkodkan di Kapit yang membabitkan seorang bukan warganegara dan seorang warganegara, masing-masing pada 2 dan 13 Januari lalu.
Sehubungan itu, katanya sebanyak 13 kawasan membabitkan 149 pintu rumah panjang di Kapit dan daerah Song dikenakan sekatan pergerakan bermula 3 sehingga 16 Januari disebabkan sebahagian penduduk dikhuatiri menjadi kontak kes positif Covid-19 sebelum ini.
“Pejabat Parlimen saya dan Adun Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dikekang sepenuhnya.
“Saya juga sedang berbincang tentang bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata wakilnya di pejabat Parlimen Kapit akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini maklumat serta bantuan yang boleh disalurkan.
“Perkara paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan kelaziman baharu.
“Ia termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, pensanitasian tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai,” katanya.
Beliau yakin, jika masyarakat dapat dididik dan mengawal diri serta keluarga masing-masing, penularan wabak ini akan dapat dikekang bukan sahaja di Kapit bahkan Malaysia secara keseluruhannya.

Suara Sarawak