KUCHING: Sarawak akan memainkan peranan dalam rangka membangunkan negara dengan memastikan pembangunannya setaraf dengan wilayah negara jiran iaitu Kalimantan, Indonesia.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tidak akan membiarkan Malaysia ketinggalan dengan Indonesia, khususnya dari segi pembangunan dan ekonomi.
“Di Sarawak kita bersaing dengan jiran (Kalimantan, Indonesia), sebab itu kalau negara jiran kita membangun, Malaysia harus membangun bersama-sama.
“Kami Sarawak berhadapan dengan Kalimantan, iaitu Nusantara akan ditempatkan… adakah Malaysia dan Sarawak hanya melihat?” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peruntukan besar untuk sempadan Sarawak.
“Biarlah Tebedu tahapnya setaraf dengan Entikong, Kalimantan… jangan kita di belakang, Kalimantan pula di hadapan,” katanya.
Manakala, Abang Johari mengingatkan agar Kerajaan Perpaduan melihat cabaran yang dihadapi Sarawak di Beting Patinggi Ali, yang diancam khususnya oleh China.



