SIMANGGANG: Bekas Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim percaya calon baharu GPS, Mohamad Shafizan Kepli mampu meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tegasnya, usaha memberikan kemenangan besar kepada calon muda berusia 37 tahun itu penting bagi memastikan Parlimen Batang Lupar terus kekal sebagai kubu kuat Kerajaan GPS.
“Kempen yang akan diadakan adalah untuk memperkenalkan beliau kepada masyarakat di Dun Lingga, Sebuyau dan tidak juga ketinggalan di Beting Maro.

“Ini adalah penting keranan pengundi suka kita bersemuka secara berdepan, jadi saya cukup yakin dengan calon muda kita ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) Batang Lupar, di sini, hari ini.
Rohani turut memberi keyakinan bahawa calon muda itu sesuai menjadi penggantinya di tambah dengan Shafizan dikategorikan sebagai pemimpin baharu yang lebih bertenaga.
“Saya yakin dengan kepimpinan beliau, memang lumrah sebagai pemimpin baharu kita akan terus belajar,” katanya.
Rohani dalam pada itu menegaskan, bersedia memberikan khidmat sokongan dalam membantu calon muda itu menjadi pemimpin berkaliber.
Tegasnya, ia bagi menyambung tradisi PBB dalam usaha meningkatkan pemimpin muda menerusi tunjuk ajar daripada pemimpin lama.
“Saya sedia untuk sama-sama membantunya dan Shafizan sebelum ini ada merujuk saya tentang sebarang penganjuran program,” ujarnya.