ARTIKEL

YAKUB (baju putih) menyempurnakan simbolik pertandingan sepak takraw akhir semasa Majlis Penutupan Rasmi Pesta PSKPP Peringkat Daerah Mukah Tahun 2025, baru-baru ini.

Pastikan warga pendidikkan sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»PERSATUAN Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) merupakan organisasi yang menjadi platform penting bagi warga pendidikan di Malaysia untuk bergiat aktif dalam bidang sukan dan kebudayaan.

Penubuhannya bukan sahaja bertujuan memberikan peluang kepada guru serta kakitangan pendidikan untuk mengasah bakat, malah turut mengeratkan hubungan antara ahli melalui pelbagai program dan pertandingan.

Sejak awal penubuhannya, PSKPP dilihat sebagai usaha bersepadu untuk menjadikan aktiviti sukan dan kebudayaan sebahagian daripada gaya hidup warga pendidikan.

AKSI…Antara aksi yang ditunjukkan oleh pemain dari Zon Balingan dan Zon Seberang dalam pertandingan tersebut.

Kewujudan PSKPP membawa misi besar untuk melahirkan guru yang cergas, kreatif dan berjiwa besar dalam menggalas amanah mendidik generasi muda.

PSKPP tidak hanya menumpukan sukan kompetitif, tetapi turut memberi ruang kepada aktiviti kebudayaan seperti tarian, nyanyian, teater dan seni persembahan.

Pendekatan ini membolehkan bakat dalam kalangan guru diketengahkan, selain menjadi medium untuk memelihara warisan seni dan budaya tempatan.

Setiap tahun, persatuan ini menganjurkan temasya sukan serta pertandingan kebudayaan yang menghimpunkan peserta dari pelbagai daerah dan zon.

Perbezaan PSKPP daripada persatuan sukan lain ialah pelibatan seluruh warga pendidikan, bermula daripada guru sekolah rendah dan menengah hinggalah pegawai di jabatan pendidikan negeri serta daerah.

Kesepaduan ini menjadikan temasya PSKPP lebih meriah dan bermakna.

Baru-baru ini, semasa merasmikan Pesta PSKPP Peringkat Daerah Mukah Tahun 2025, Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian Abdul Yakub Arbi menyatakan bahawa sukan sangat penting untuk warga pendidikan.

Beliau berkata, dunia pendidikan kini berdepan pelbagai cabaran apabila guru bukan sahaja dituntut mengajar di bilik darjah, malah turut memikul tanggungjawab mendidik akhlak, membimbing emosi dan membentuk karakter generasi muda Madani.

WARGA pendidikan yang hadir bagi memeriahkan Majlis Penutupan Rasmi Pesta PSKPP itu.

“Bagi mengatasi cabaran tersebut, program berteraskan sukan dan kebudayaan dilihat mampu menjadi wadah terbaik untuk memperkukuh keupayaan warga pendidikan.

“Hal ini demikian kerana sukan mengajar warga pendidikan untuk berdisiplin, bersabar dan berdaya saing secara sihat, manakala kebudayaan pula menyuburkan jati diri, nilai serta identiti bangsa.

“Apabila kedua-dua elemen ini digabungkan, maka lahirlah guru yang bijak menyampaikan ilmu serta menjadi teladan unggul kepada anak didiknya,” katanya dalam majlis tersebut.

Yakub turut menegaskan bahawa program seperti Pesta PSKPP amat penting kerana dapat mengeratkan ikatan silaturahim warga pendidikan daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, hal ini khususnya apabila warga pendidikan bertemu semasa pesta tersebut yang ada dalam kalangan mereka yang mengajar di kawasan bandar dan ada pula di kawasan luar bandar.

Pertemuan ini juga membolehkan mereka berkongsi pengalaman serta budaya sekolah di kawasan masing-masing.

“Selain itu, program ini mampu mengurangkan tekanan kerja melalui aktiviti riadah dan seni budaya.

“Pelibatan dalam sukan seperti badminton, bola jaring dan bola sepak dapat membantu warga pendidikan melepaskan tekanan serta memulihkan tenaga fi zikal.

“Bagi aktiviti kebudayaan pula, ia memberi ruang kepada mereka menonjolkan kreativiti serta mengimbangi tekanan mental yang dihadapi dalam rutin harian,” jelasnya.

Pada masa yang sama,  Yakub menegaskan bahawa beliau akan terus menyokong sepenuhnya segala usaha yang bertujuan meningkatkan tahap kebajikan dan kesejahteraan warga pendidikan dalam kawasan jagaannya.

Tegasnya lagi, Pusat Khidmat Masyarakat Balingian sentiasa terbuka untuk menerima permohonan daripada PSKPP Daerah Mukah, khususnya Jawatankuasa Pengurusan Zon Balingian.

“Saya berharap PSKPP Daerah Mukah akan terus menganjurkan aktiviti sihat setiap tahun.

“Contohnya pertandingan sukan tradisional, festival kebudayaan dan warisan, program kesihatan untuk guru serta keluarga, selain latihan pembangunan sahsiah dan kepimpinan.

“Kita percaya guru yang sejahtera akan berupaya melahirkan murid yang sejahtera, seterusnya membentuk masyarakat Madani yang harmoni,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zon Balingian, Rizalfaiza Merikan memberitahu, PSKPP Daerah Mukah telah menganjurkan lapan jenis sukan.

YAKUB merakam kenangan bersama-sama yang lain selepas majlis tersebut.

“Antaranya bola baling, petanque, futsal, sepak takraw, badminton, bola tampar, bola sepak dan bola jaring.

“Melalui Pesta PSKPP ini, permuafakatan warga pendidikan dapat ditonjolkan dengan semangat kesefahaman dalam melaksanakan tanggungjawab bersama melalui pelibatan sukan,” katanya.

Untuk rekod, Johan Keseluruhan Pesta PSKPP Peringkat Daerah Mukah 2025 dimenangi oleh Zon Balingian.

Naib johan disandang Zon Bandar Mukah, diikuti Zon Seberang di tempat ketiga, manakala Zon Ladang di tempat keempat.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU