MUKAH: Pasukan Kasihnya Warisan muncul juara acara Raja Sungai Piala Yang Berhormat Abdul Yakub Haji Arbi bagi kategori akhir Bidar 30 sempena Pesta N.58 Balingian @ Penakub Ulu, baru-baru ini.
Kemenangan itu membolehkan pasukan Kasihnya Warisan membawa pulang piala serta hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat kedua dimenangi pasukan Puteri Bunian, manakala Warisan Tropika menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan berkenaan.
Bagi kategori Bidar 25 akhir Piala Royston, Kasihnya Warisan muncul juara, manakala Warisan Tropika dan Pewana K.P.U masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Bidar 20 akhir Piala PJP Barisan HCM JV Sdn. Bhd., Kasihnya Warisan muncul juara, diikuti Puteri Bunian Walinong Sari di tempat kedua dan Kasihnya Warisan di tempat ketiga.
Kategori Bidar 15 akhir Piala Miaw Seng Hardware Sdn. Bhd. pula dimenangi Warisan Gemilang, manakala Puteri Bunian Walinong Sari dan Kasihnya Warisan masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, TLB Alap-Alap menjuarai kategori Bidar 10 akhir, diikuti Armada Generasi Warisan di tempat kedua dan Puteri Bunian Walinong Sari di tempat ketiga.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, penganjuran pesta itu bukan sekadar wadah hiburan, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program seperti ini juga menjadi platform untuk kita berkumpul dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Pada masa sama, ia memberi ruang kepada golongan belia untuk bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan pesta tersebut.
Sehubungan itu, Yakub turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat serta penduduk Kampung Penakub Ulu atas komitmen dan kerjasama menjayakan pesta berkenaan.
Tambahnya, beliau turut menghargai pelibatan aktif golongan belia dan wanita dalam menjayakan pelbagai aktiviti komuniti sepanjang pesta tersebut.



