Pasukan sepak takraw lelaki Melaka mencipta sejarah baharu dengan meraih pingat emas setelah menundukkan Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir acara regu lelaki di Stadium Muhibbah, petang tadi.
Kemenangan ini menandakan akhir penantian selama 20 tahun bagi Melaka untuk meraih pingat emas dalam acara ini, setelah kali terakhir mereka memenanginya pada 2004.
Jurulatih pasukan sepak takraw Melaka, Mohd Kamarudin Kasim menyatakan bahawa kejayaan ini merupakan hadiah yang sangat bermakna bagi pasukannya, terutama selepas dua dekad tanpa sebarang kejayaan.
Katanya lagi, kejayaan ini membuktikan bahawa pasukan Melaka setanding dengan pasukan-pasukan yang lain.



