Patuh peraturan di atas bot ekspres

SIBU: Pengendali dan penumpang bot ekspres perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, pematuhan itu penting bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, kajian menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kecuaian manusia.

“Kami ingin mengingatkan penumpang yang akan balik kampung sempena Tahun Baharu Cina supaya mematuhi peraturan berhubung keselamatan ketika di atas bot.

“Jika semua penumpang dan pengendali bot ekspres mematuhi peraturan ketika di jeti dan di atas bot penumpang, saya percaya kemalangan dapat dielakkan.

“Kalau diri sendiri tidak mahu jaga keselamatan diri, siapa lagi boleh bertanggungjawab atas keselamatan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Pengangkutan Sungai Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di Terminal Penumpang Sibu (TPS), semalam.

Beliau memuji inisiatif LSS melalui kempen keselamatan berkenaan yang mampu memberi kesedaran dan aklumat tentang pentingnya mengambil berat akan keselamatan semasa menggunakan pengangkutan sungai.

LSS jelasnya, mempunyai pegawai di setiap terminal penumpang bot ekspres yang bersedia membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat dan pengusaha bot ekspres.

Sebagai sebuah negeri yang memiliki sungai yang banyak dan terpanjang Kim Shin berkata, sistem pengangkutan sungai masih relevan, terutamanya bagi penduduk di kawasan pedalaman dan pesisiran.

“Setakat ini, terdapat 35 sungai yang digazet merangkumi sekitar 5,000 kilometer panjang.

“Tidak dinafikan, pengangkutan sungai juga menjadi pilihan untuk pengangkutan komoditi dan kargo mentah dari kawasan pedalaman ke bandar terdekat untuk dihantar ke kilang industri atau dieksport,” katanya.