KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka menampilkan sekurang-kurangnya lima atau enam muka baharu pada pilihan raya akan datang sebagai sebahagian daripada proses kesinambungan dan pembaharuan kepimpinan parti.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, amalan memperkenalkan calon baharu bukan perkara baharu, malah sudah menjadi budaya dalam parti bagi memberi ruang kepada generasi muda belajar daripada pemimpin lama.
“Proses tersebut perlu dilihat secara positif oleh semua pihak, demi memastikan kelangsungan kepimpinan parti dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada masa depan.
“Kita perlu memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk tampil memikul tanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas perasmian Konvensyen GPS, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Presiden PBB yang juga Pengerusi GPS itu berkata, budaya memberi peluang kepada generasi muda sudah lama diamalkan dan juga dipercayai dalam parti-parti komponen lain.
“Ya, memang proses kita begini, khususnya parti PBB dan saya percaya parti-parti komponen kita juga terpaksa memberi peluang dan ruang kepada golongan muda supaya mereka belajar daripada yang tua.
“Kami semua dahulu pun muda, belajar daripada senior. Begitu juga Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan yang lain.
“Saya menggantikan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan kami berdua diasuh oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Tan Sri Datuk Amar Jabu Numpang. Kini menjadi tanggungjawab kita pula membimbing generasi muda. Jangan kita menolak calon muda,” ujarnya.
Beliau berkata, gabungan pengalaman orang lama dengan tenaga orang muda, termasuk wanita dan lelaki, amat penting bagi menjamin masa depan parti dan negeri.



