HAMILTON: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan mengenai pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini mengenai pembekuan bantuan baharu kepada negara lain, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Setiausaha Agung (Antonio Guterres) melahirkan kebimbangan terhadap pengumuman pembekuan bantuan luar AS,” kata jurucakap, Stephane Dujarric, semasa sidang akhbar, sambil menekankan peranan penting bantuan itu dalam menyokong populasi yang rentan di seluruh dunia.
Dujarric menekankan kepentingan memastikan program kemanusiaan dan pembangunan tidak terjejas, berkata: “Setiausaha Agung menyeru agar pengecualian tambahan dipertimbangkan untuk memastikan pelaksanaan berterusan aktiviti pembangunan dan kemanusiaan yang penting bagi masyarakat yang paling rentan di seluruh dunia, yang kehidupan dan mata pencarian mereka bergantung kepada sokongan ini.”
Dujarric juga mengulangi kepentingan untuk terlibat dalam libat urus dengan pentadbiran Trump bagi menangani cabaran global secara kolaboratif.
“Setiausaha Agung berharap dapat terlibat dalam libat urus dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat mengenai penyediaan sokongan pembangunan yang amat diperlukan kepada mereka yang menghadapi cabaran paling sukar di dunia membangun,” kata jurucakap itu.
“AS ialah antara penyumbang bantuan terbesar, dan adalah penting untuk kita bekerjasama secara konstruktif bagi membentuk hala tuju strategik ke hadapan,” tambahnya.
Pembekuan itu adalah sebahagian daripada perintah eksekutif Trump minggu lepas, yang meminta semakan selama 90 hari terhadap perbelanjaan bantuan luar bagi menilai penjajarannya dengan keutamaan dasar luar AS.
Meskipun memo itu menggariskan pengecualian untuk Israel dan Mesir, yang masing-masing menerima US$3.3 bilion dan US$1.3 bilion dalam pembiayaan ketenteraan luar setiap tahun, bantuan kepada sekutu utama AS lain, termasuk Ukraine, Jordan, dan Taiwan dilaporkan terjejas. — BERNAMA



