KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak digesa untuk terus memperkasakan sistem pengurusan kewangan dalam usaha mewujudkan perkhidmatan terbaik dan berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, berkata perkara tersebut penting kerana sebahagian daripada PBT belum dapat mengutip cukai ataupun hutang tertunggak, sama ada melalui
orang perseorangan, pemilik bangunan mahupun pemilik kilang.
Katanya, sebahagian daripada hutang mereka ini juga tidak melibatkan jumlah yang besar tetapi ia perlu dituntut sekali gus perlu dilangsaikan dengan PBT.
“Justeru, kita juga meminta agar PBT yang berkaitan perlu bersikap lebih proaktif dalam mewujudkan kaedah dan cara untuk mengutip hutang-hutang berkenaan.
“Ini kerana Sarawak sedang bergerak ke arah pengurusan kewangan berhemat, yang membawa maksud kita perlu mengutip hasil yang sepatutnya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Taklimat Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB) kepada PBT Seluruh Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan rakyat, mesti saling berinteraksi dengan cara yang betul sebagaimana ditentukan oleh undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Saya bimbang kerana ada segelintir masyarakat menganggap hutang dengan PBT bukan hutang yang besar seperti dengan Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO), yang kalau tidak dibayar, bekalan elektrik terputus.
“Dengan PBT, walaupun cukai atau hutang tidak dibayar, rumput tetap juga akan dipotong.
“Jadi, kita minta masyarakat memberi kerjasama dan memahami perkara ini,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa ada juga dalam kalangan PBT yang tampil mengambil tindakan tegas kepada penghutang dalam hal ini.
“Saya mendengar ada beberapa tindakan positif daripada beberapa majlis daerah dengan melakukan sitaan, melakukan lelongan terhadap barangan hak milik sebahagian penghutang yang sebenarnya mempunyai harta tetapi hutang berpuluh-puluh tahun masih tertunggak.
“Ini penting kerana kita mahu memastikan masyarakat bertanggungjawab terhadap hutang masing-masing, termasuk hutang PBT mesti dibayar, dan PBT juga perlu memberikan perkhidmatan terbaik,” tegasnya.
Untuk makluman, secara keseluruhannya, Sarawak mempunyai 26 PBT yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selaran (MBKS), Majlis Bandaraya Miri (MBS), Majlis Perbandaran Padawan (MPS), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Perbandaran Kota Samarahan, dan banyak lagi.



