KUCHING: Persatuan Catur Bahagian Kuching (PCBK) merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian atas sokongan geran dan galakan berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan catur di Kuching serta Sarawak.
Presiden PCBK, Chuang Kuang Hong berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu dari aspek kewangan, malah menjadi pembakar semangat kepada persatuan untuk terus menganjurkan program dan kejohanan berkualiti bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Menurutnya, sokongan berkenaan turut memperkukuh ekosistem catur di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada pemain daripada pelbagai peringkat umur.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian atas kepercayaan dan sokongan berterusan beliau terhadap usaha PCBK membangunkan sukan catur di Sarawak.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus menganjurkan program dan kejohanan catur yang berkualiti demi melahirkan lebih ramai bakat baharu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, PCBK bakal menganjurkan kejohanan Queen & Kiing Gambit 2026 pada 22 Ogos ini bertempat di Tingkat Atas, Kuching Sentral.
Kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin yang bersetuju hadir sebagai tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.
Menampilkan konsep unik dengan kategori King dan Queen secara berasingan, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM3,300 selain pelbagai hadiah kategori khas.
PCBK berkata, penyertaan dibuka kepada 100 peserta bagi kategori King dan 100 peserta bagi kategori Queen dengan jumlah keseluruhan 200 peserta.
Kejohanan itu terbuka kepada pemain semua peringkat umur dan tahap permainan dengan matlamat menggalakkan penyertaan masyarakat, memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh budaya catur di Sarawak.
Sehubungan itu, PCBK turut mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat korporat, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan serta individu sebagai penaja atau rakan strategik bagi menyokong pembangunan sukan catur di negeri ini.
Menurut persatuan itu, sokongan pelbagai pihak penting bagi memastikan lebih banyak program berkualiti dapat dilaksanakan dalam usaha mencungkil bakat baharu serta membina ekosistem catur yang mampan untuk generasi akan datang.
Untuk pendaftaran, penajaan dan kerjasama, orang ramai boleh menghubungi Yip Chin Chin di talian 012-408 6026, Alex Ting ( 016-860 1712) dan Cr. Br. Dr. Gs. Ts. PMr. Kiing Sie Ying (019-839 7785).





