ARTIKEL

Anyi berucap pada Majlis Perhimpunan Transformasi Digital dan Perpaduan PDP di sebuah hotel di sini, malam tadi.

PDP perkasa pengurusan keahlian menerusi platform digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Parti Demokratik Progresif (PDP) akan memperkukuh sistem pengurusan keahliannya menerusi platform digital yang lebih sistematik serta mematuhi perlembagaan parti sebagai langkah memperkasakan organisasi menjelang pilihan raya akan datang.

Anyi memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Perhimpunan Transformasi Digital dan Perpaduan PDP.

Langkah itu dizahirkan menerusi pelancaran laman sesawang rasmi baharu PDP yang membolehkan orang ramai memohon keahlian secara dalam talian, sekali gus menandakan era baharu transformasi digital parti berkenaan.

Setiausaha Agung PDP, Datuk Anyi Ngau berkata, platform tersebut bukan sahaja memudahkan pendaftaran ahli baharu, malah berperanan memperkemas pentadbiran parti serta mengukuhkan hubungan antara kepimpinan dan akar umbi.

Menurutnya, walaupun proses pendaftaran dilaksanakan secara digital, setiap permohonan tetap perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam perlembagaan parti, termasuk mendapatkan pengesahan daripada Bahagian PDP yang berkaitan.

“Saya bukan mengatakan kita tidak mematuhi perlembagaan parti, tetapi apa yang penting ialah setiap proses yang dilaksanakan melalui platform digital mesti selaras dengan perlembagaan dan tatakelola parti supaya keahlian yang didaftarkan mempunyai kesahihan serta memenuhi segala syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Transformasi Digital dan Perpaduan PDP di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Anyi yang juga Ahli Parlimen Baram menegaskan penggunaan teknologi digital perlu dijadikan amalan berterusan dan bukan sekadar inisiatif sekali sahaja. Malah, katanya, pendekatan itu wajar dijadikan prosedur operasi standard (SOP) dalam pengurusan serta pergerakan parti pada masa hadapan.

Katanya, pendekatan tersebut diyakini mampu meningkatkan keberkesanan komunikasi dan penyelarasan dalam kalangan ahli, sekali gus memperkukuh budaya tadbir urus yang lebih tersusun, cekap dan profesional.
Dalam pada itu, beliau menegaskan segala usaha memperkukuh parti perlu bergerak seiring dengan aspirasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan kestabilan politik dan pembangunan negeri.

Menurutnya, tempoh semasa merupakan masa terbaik untuk seluruh jentera parti memperkemas organisasi memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen semakin menghampiri penghujungnya.

“Keadaan ini memerlukan semua ahli dan kepimpinan parti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya mengikut peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan Majlis Tertinggi, Sayap Pemuda dan Wanita serta seluruh ahli PDP agar terus memperkukuh perpaduan dalaman sebelum berganding bahu dengan parti-parti komponen lain dalam GPS.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memperkukuh hubungan sesama ahli terlebih dahulu sebelum bersama-sama memperkasakan GPS. Itulah semangat, visi dan misi yang sentiasa ditekankan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut dan berharap platform digital yang diperkenalkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluas keahlian, memperkukuh organisasi serta memastikan PDP terus kekal relevan sebagai komponen penting dalam GPS.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

XPDC Bario 375km meri pengelantang

KUCHING: Pengeransing Sapit Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ngabas jalai menua ulu nengah XPDC 1.0 Bario ba taun 2025 dipuji komuniti Kenyah enggau